Sunday, November 21, 2010

FIQH AT TADARRUJ DALAM AMAL ISLAMI


KE ARAH MEMAHAMI FIQH AT TADARRUJ DALAM AMAL ISLAMI

الحمدلله والصلاة والسلام على رسول الله وعلى آله وصحبه ومن والاه، وبعد

A. MUQADDIMAH

Adalah menjadi suatu taklif dan tanggungjawab bagi melaksanakan segala suruh perintah Allah s.w.t ke atas hamba-hambaNya sebagai sifat ubudiyyah yang hakiki kepada Pencipta Semesta Alam. Sifat ubudiyyah ini dibuktikan dengan ketundukkan dan kepatuhan yang tidak berbelah bahagi kepada Allah s.w.t. Ini jelas sebagaimana firman Allah Ta’ala;

Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.

Sifat ubudiyyah ini dijelaskan dengan perjalanan sunnah Rasulullah s.a.w bermula daripada marhalah makkiyah sehinggalah marhalah madaniyyah. Bermula dengan hal-hal berkaitan aqidah dan kepercayaan, sehinggalah kepada melaksanakan syariat secara syumul dan hal ehwal bernegara. Perlaksanaan yang mengambil masa kurang lebih 23 tahun sudah pasti begitu signifikan untuk diperhatikan, difahami dan diperhalusi lebih-lebih lagi dalam usaha menegakkan syariat Islam dalam sesebuah negara yang bersifat majmuk dan multi-racial seperti Malaysia.

Kemenangan luar jangka Parti Islam Se-Malaysia (PAS) bersama-sama Pakatan Rakyat dalam Pilihanraya Umum ke 12 telah mencetuskan perbincangan-perbincangan topik baru dalam era pemerintahan yang bersifat “campuran” antaranya hukum bergabung dalam kerajaan bukan Islam dan persoalan perlaksanaan syariat Islam dalam pemerintahan.

Maka dalam kertas kerja ini saya cuba membentang fiqh at tadarruj atau berperingkat-peringkat dalam usaha amal Islami umumnya dan pelaksanaan syariat khususnya.

B. AT TADARRUJ( التدرج ) ADALAH SUNNATULLAH

Walaupun Allah Ta’ala memiliki sifat qudrat ke atas setiap sesuatu, yang mampu mengadakan atau meniadakan hanya dengan lafaz kun, tetapi menjadi hikmah yang besar apabila segala sesuatu itu dijadikan bertempoh dan berperingkat-peringkat. Hal ini jelas dalam firman-Nya berkaitan penciptaan langit dan bumi serta antara kedua-duanya.

"Allah Tuhan Yang menciptakan langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya dalam enam masa"

Sunnatullah dalam fiqh tadarruj ini juga tergambar dalam kes pengharaman arak yang melalui tiga peringkat.

"Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. katakanlah: "Pada keduanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya."

"Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu hampiri sembahyang (mengerjakannya) sedang kamu dalam keadaan mabuk."

"Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan syaitan. oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya. Sesungguhnya Syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu dengan sebab arak dan judi, dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan sembahyang. oleh itu, mahukah kamu berhenti (daripada melakukan perkara-perkara yang keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil)"


C. BERPRINSIP DAN BERPERINGKAT

Suka ditegaskan di sini bahawa fiqh at tadarruj (berperingkat-peringkat) ini tidak bererti keluar dari prinsip-prinsip Islam, tidak bererti sejalan dengan jahiliyyah dalam undang-undang Allah dan tidak bererti menyembunyikan matlamat amal Islami. Ia hanya kadang kala menyembunyikan gerakerja, cara-cara, alat-alat dan bahan-bahannya. Ia tidak bererti sama sekali memutarbelitkan dan menyembunyikan matlamat utama amal Islami mengajak semua manusia ke arah pengabdian Allah Rabbul Jalil.

BERPRINSIP dalam amal Islami ialah iltizam sepenuhnya kepada kehendak-kehendak Islam tanpa menyeleweng dan bertolak ansur, sebagaimana firman Allah Ta’ala;

"Dan tidaklah harus bagi orang-orang Yang beriman, lelaki dan perempuan - apabila Allah dan RasulNya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara - (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. dan sesiapa Yang tidak taat kepada hukum Allah dan RasulNya maka Sesungguhnya ia telah sesat Dengan kesesatan Yang jelas nyata."

D. FIQH AT TADARRUJ DALAM SIRAH NABAWIYYAH

Konsep fiqh at tadarruj ini telah ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w dalam gerakerja dakwah tanpa menolak tepi matlamat utama amal Islami membawa manusia mengabdikan diri pada Allah Ta’ala dan tidak luput walau sedetik pun dari fikiran para ‘amilin yang bersama-sama dalam setiap perjalanan.

Para ulama telah bersepakat bahawa Rasulullah s.a.w dalam pengurusannya melalui empat peringkat:

Peringkat Pertama: Bermula dengan pengutusan Rasulullah s.a.w dan gerakerja secara rahsia hinggalah tahun ketiga kebangkitan-Nya di mana terbentuk angkatan dakwah pertama. Peringkat ini dinamakan “pembentukan”.

Peringkat Kedua: Mengisytiharkan dakwahnya kepada keluarga dan kaum kerabat.

Peringkat Ketiga: Bermula dari tahun ke sepuluh dari kebangkitan, Rasulullah s.a.w mula mengisytiharkan dakwahnya secara terang-terangan di khalayak ramai seperti di pasar-pasar ‘Ukkaz, Zil Majaz dan menunggu rombongan-rombongan dari segenap pelusuk Semenanjung Tanah Arab untuk menyampaikan risalah Islam. Peringkat ini berlangsung sehingga membawa kepada penerimaan Islam oleh orang-orang Madinah, dan peringkat ini boleh dinamakan peringkat “berkembang”.

Peringkat Keempat: Bermula dengan hijrah dari Makkah ke Al Madinah Al Munawwarah dan dengan bermula turunnya firman Allah Ta’ala;

"Diizinkan berperang bagi orang-orang (Islam) yang diperangi (oleh golongan penceroboh), kerana sesungguhnya mereka telah dianiaya; dan sesungguhnya Allah amat berkuasa untuk menolong mereka (mencapai kemenangan).
Iaitu mereka yang diusir dari kampung halamannya Dengan tidak berdasarkan sebarang alasan yang benar, (mereka diusir) semata-mata kerana mereka berkata: "Tuhan Kami ialah Allah". dan kalaulah Allah tidak mendorong setengah manusia menentang pencerobohan setengahnya yang lain, nescaya runtuhlah tempat-tempat pertapaan serta gereja-gereja (kaum Nasrani), dan tempat-tempat sembahyang (kaum Yahudi), dan juga masjid-masjid (orang Islam) yang sentiasa disebut nama Allah banyak-banyak padanya dan Sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong ugamanya (ugama Islam); Sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa; -
Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan."


E. FIQH TADARRUJ DALAM KONTEKS PAKATAN RAKYAT PASCA PRU 12

a. PAS berpegang kepada keharusan bergabung dalam pemerintahan “bukan Islam” bersama-sama parti-parti politik lain dalam Pakatan Rakyat, berasaskan beberapa pertimbangan antaranya meminimumkan kejahatan dan kezaliman mengikut kesanggupan, melakukan mudharat yang paling ringan(ارتكاب أخف الضررين) , melepaskan nilai yang paling tinggi lalu turun ke realiti yang paling rendah, dan bertahap dan berperingkat-peringkat( فقه التدرج) .

b. Gabungan ini mesti dilakukan secara jelas, bukan sekadar khayalan dan bualan sahaja, dan bukan sebagai boneka, pemerintahan yang tidak menjadi simbol kezaliman dan kerakusan, mempunyai hak untuk menentang perkara yang secara jelas bertentangan dengan Islam atau paling minimumnya menjaga Islam, serta berkewajipan membetulkan mereka yang terlibat sama dalam pemerintahan. Sekiranya syarat-syarat ini tidak dipatuhi hukumnya kembali kepada larangan bergabung.

c. PAS diberi ruang dan peluang atas pentas politik yang lebih terbuka dan menyampaikan mesej Islam dan parti kepada masyarakat melalui penjawat-penjawat dalam kerajaan-kerajaan negeri yang dikuasai PR seperti lantikan exco dan wakil rakyat, ahli-ahli majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), JKP, ketua kampung dan JKKK, pusat-pusat khidmat masyarakat dan sebagainya.

F. BEBERAPA PENEGASAN DAN TINDAKAN

a. Sehingga kertas kerja ini ditulis, PAS masih lagi mempunyai komitmen dengan penyertaan dalam gabungan Pakatan Rakyat.
b. Fiqh At Tadarruj bukan bererti tindakan tidak berprinsip, pengecut dan undur ke belakang. Sebaliknya ia adalah uslub dan pendekatan yang bertahap dan berperingkat, mengambil kira faktor-faktor di sekeliling bagi tujuan mencapai matlamat yang lebih utama dalam usaha mengembalikan pengabdian kepada Allah Ta’ala.
c. Kajian dan pelaksanaan fiqh at tadarruj ini perlu diperluaskan kepada para penggerak parti di semua peringkat.
d. Mengaplikasikan fiqh at tadarruj ini dalam gerak kerja pengurusan parti, tarbiyah dan perkaderan serta dakwah dan penerangan.

G. PENUTUP
Sebagai mengakhiri kepada perbincangan fiqh at tadarruj ini, saya ingin mengemukakan kisah yang berlaku kepada khalifah yang wara’ dari kalangan Bani Umayyah, Khalifah Umar bin Abdul Aziz yang dengan penuh hikmah dan kebijaksanaan dan perhatian beliau melakukan segala-galanya dengan berperingkat-peringkat. Sehinggakan suatu hari, anaknya Abdul Malik, seoarang pemuda yang bertaqwa dan bersemangat berkata pada beliau;

“Wahai ayah, kenapa saya melihat ayah selalu lambat dalam melaksanakan segala urusan? Demi Allah, saya tidak peduli, sekalipun takdir memanggil kita selagi kita berada pada jalan Allah”.

Jawab Umar bin Abdul Aziz pada anaknya;

“Janganlah kamu tergesa-gesa wahai anakku. Allah telah mencela arak dalam al Qur’an pada dua ayat yang berasingan, kemudian barulah Allah mengharamkannya pada ayat yang ketiga. Saya bimbang jika saya memaksakan kebenaran kepada manusia secara keseluruhannya, hal ini akan mendatangkan fitnah kepada mereka”.

Mudah-mudahan kertas kerja Fiqh AT Tadarruj ini dijadikan sebagai pengantar, pengenalan dan muqaddimah kepada memahami hikmah dan maqasid syari’ah dan diamalkan dalam gerakerja Islam dan parti kita, InsyaAllah.

وأخر دعوانا أن الحمدلله رب العالمين

Muhammad Sufyan bin Haji Ismail
Ketua Urusan Ulama
PAS Kawasan Puchong
23 Rejab 1429 bersamaan 26 Julai 2008