Sunday, November 21, 2010

FIQH AT TADARRUJ DALAM AMAL ISLAMI


KE ARAH MEMAHAMI FIQH AT TADARRUJ DALAM AMAL ISLAMI

الحمدلله والصلاة والسلام على رسول الله وعلى آله وصحبه ومن والاه، وبعد

A. MUQADDIMAH

Adalah menjadi suatu taklif dan tanggungjawab bagi melaksanakan segala suruh perintah Allah s.w.t ke atas hamba-hambaNya sebagai sifat ubudiyyah yang hakiki kepada Pencipta Semesta Alam. Sifat ubudiyyah ini dibuktikan dengan ketundukkan dan kepatuhan yang tidak berbelah bahagi kepada Allah s.w.t. Ini jelas sebagaimana firman Allah Ta’ala;

Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.

Sifat ubudiyyah ini dijelaskan dengan perjalanan sunnah Rasulullah s.a.w bermula daripada marhalah makkiyah sehinggalah marhalah madaniyyah. Bermula dengan hal-hal berkaitan aqidah dan kepercayaan, sehinggalah kepada melaksanakan syariat secara syumul dan hal ehwal bernegara. Perlaksanaan yang mengambil masa kurang lebih 23 tahun sudah pasti begitu signifikan untuk diperhatikan, difahami dan diperhalusi lebih-lebih lagi dalam usaha menegakkan syariat Islam dalam sesebuah negara yang bersifat majmuk dan multi-racial seperti Malaysia.

Kemenangan luar jangka Parti Islam Se-Malaysia (PAS) bersama-sama Pakatan Rakyat dalam Pilihanraya Umum ke 12 telah mencetuskan perbincangan-perbincangan topik baru dalam era pemerintahan yang bersifat “campuran” antaranya hukum bergabung dalam kerajaan bukan Islam dan persoalan perlaksanaan syariat Islam dalam pemerintahan.

Maka dalam kertas kerja ini saya cuba membentang fiqh at tadarruj atau berperingkat-peringkat dalam usaha amal Islami umumnya dan pelaksanaan syariat khususnya.

B. AT TADARRUJ( التدرج ) ADALAH SUNNATULLAH

Walaupun Allah Ta’ala memiliki sifat qudrat ke atas setiap sesuatu, yang mampu mengadakan atau meniadakan hanya dengan lafaz kun, tetapi menjadi hikmah yang besar apabila segala sesuatu itu dijadikan bertempoh dan berperingkat-peringkat. Hal ini jelas dalam firman-Nya berkaitan penciptaan langit dan bumi serta antara kedua-duanya.

"Allah Tuhan Yang menciptakan langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya dalam enam masa"

Sunnatullah dalam fiqh tadarruj ini juga tergambar dalam kes pengharaman arak yang melalui tiga peringkat.

"Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. katakanlah: "Pada keduanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya."

"Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu hampiri sembahyang (mengerjakannya) sedang kamu dalam keadaan mabuk."

"Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan syaitan. oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya. Sesungguhnya Syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu dengan sebab arak dan judi, dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan sembahyang. oleh itu, mahukah kamu berhenti (daripada melakukan perkara-perkara yang keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil)"


C. BERPRINSIP DAN BERPERINGKAT

Suka ditegaskan di sini bahawa fiqh at tadarruj (berperingkat-peringkat) ini tidak bererti keluar dari prinsip-prinsip Islam, tidak bererti sejalan dengan jahiliyyah dalam undang-undang Allah dan tidak bererti menyembunyikan matlamat amal Islami. Ia hanya kadang kala menyembunyikan gerakerja, cara-cara, alat-alat dan bahan-bahannya. Ia tidak bererti sama sekali memutarbelitkan dan menyembunyikan matlamat utama amal Islami mengajak semua manusia ke arah pengabdian Allah Rabbul Jalil.

BERPRINSIP dalam amal Islami ialah iltizam sepenuhnya kepada kehendak-kehendak Islam tanpa menyeleweng dan bertolak ansur, sebagaimana firman Allah Ta’ala;

"Dan tidaklah harus bagi orang-orang Yang beriman, lelaki dan perempuan - apabila Allah dan RasulNya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara - (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. dan sesiapa Yang tidak taat kepada hukum Allah dan RasulNya maka Sesungguhnya ia telah sesat Dengan kesesatan Yang jelas nyata."

D. FIQH AT TADARRUJ DALAM SIRAH NABAWIYYAH

Konsep fiqh at tadarruj ini telah ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w dalam gerakerja dakwah tanpa menolak tepi matlamat utama amal Islami membawa manusia mengabdikan diri pada Allah Ta’ala dan tidak luput walau sedetik pun dari fikiran para ‘amilin yang bersama-sama dalam setiap perjalanan.

Para ulama telah bersepakat bahawa Rasulullah s.a.w dalam pengurusannya melalui empat peringkat:

Peringkat Pertama: Bermula dengan pengutusan Rasulullah s.a.w dan gerakerja secara rahsia hinggalah tahun ketiga kebangkitan-Nya di mana terbentuk angkatan dakwah pertama. Peringkat ini dinamakan “pembentukan”.

Peringkat Kedua: Mengisytiharkan dakwahnya kepada keluarga dan kaum kerabat.

Peringkat Ketiga: Bermula dari tahun ke sepuluh dari kebangkitan, Rasulullah s.a.w mula mengisytiharkan dakwahnya secara terang-terangan di khalayak ramai seperti di pasar-pasar ‘Ukkaz, Zil Majaz dan menunggu rombongan-rombongan dari segenap pelusuk Semenanjung Tanah Arab untuk menyampaikan risalah Islam. Peringkat ini berlangsung sehingga membawa kepada penerimaan Islam oleh orang-orang Madinah, dan peringkat ini boleh dinamakan peringkat “berkembang”.

Peringkat Keempat: Bermula dengan hijrah dari Makkah ke Al Madinah Al Munawwarah dan dengan bermula turunnya firman Allah Ta’ala;

"Diizinkan berperang bagi orang-orang (Islam) yang diperangi (oleh golongan penceroboh), kerana sesungguhnya mereka telah dianiaya; dan sesungguhnya Allah amat berkuasa untuk menolong mereka (mencapai kemenangan).
Iaitu mereka yang diusir dari kampung halamannya Dengan tidak berdasarkan sebarang alasan yang benar, (mereka diusir) semata-mata kerana mereka berkata: "Tuhan Kami ialah Allah". dan kalaulah Allah tidak mendorong setengah manusia menentang pencerobohan setengahnya yang lain, nescaya runtuhlah tempat-tempat pertapaan serta gereja-gereja (kaum Nasrani), dan tempat-tempat sembahyang (kaum Yahudi), dan juga masjid-masjid (orang Islam) yang sentiasa disebut nama Allah banyak-banyak padanya dan Sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong ugamanya (ugama Islam); Sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa; -
Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan."


E. FIQH TADARRUJ DALAM KONTEKS PAKATAN RAKYAT PASCA PRU 12

a. PAS berpegang kepada keharusan bergabung dalam pemerintahan “bukan Islam” bersama-sama parti-parti politik lain dalam Pakatan Rakyat, berasaskan beberapa pertimbangan antaranya meminimumkan kejahatan dan kezaliman mengikut kesanggupan, melakukan mudharat yang paling ringan(ارتكاب أخف الضررين) , melepaskan nilai yang paling tinggi lalu turun ke realiti yang paling rendah, dan bertahap dan berperingkat-peringkat( فقه التدرج) .

b. Gabungan ini mesti dilakukan secara jelas, bukan sekadar khayalan dan bualan sahaja, dan bukan sebagai boneka, pemerintahan yang tidak menjadi simbol kezaliman dan kerakusan, mempunyai hak untuk menentang perkara yang secara jelas bertentangan dengan Islam atau paling minimumnya menjaga Islam, serta berkewajipan membetulkan mereka yang terlibat sama dalam pemerintahan. Sekiranya syarat-syarat ini tidak dipatuhi hukumnya kembali kepada larangan bergabung.

c. PAS diberi ruang dan peluang atas pentas politik yang lebih terbuka dan menyampaikan mesej Islam dan parti kepada masyarakat melalui penjawat-penjawat dalam kerajaan-kerajaan negeri yang dikuasai PR seperti lantikan exco dan wakil rakyat, ahli-ahli majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), JKP, ketua kampung dan JKKK, pusat-pusat khidmat masyarakat dan sebagainya.

F. BEBERAPA PENEGASAN DAN TINDAKAN

a. Sehingga kertas kerja ini ditulis, PAS masih lagi mempunyai komitmen dengan penyertaan dalam gabungan Pakatan Rakyat.
b. Fiqh At Tadarruj bukan bererti tindakan tidak berprinsip, pengecut dan undur ke belakang. Sebaliknya ia adalah uslub dan pendekatan yang bertahap dan berperingkat, mengambil kira faktor-faktor di sekeliling bagi tujuan mencapai matlamat yang lebih utama dalam usaha mengembalikan pengabdian kepada Allah Ta’ala.
c. Kajian dan pelaksanaan fiqh at tadarruj ini perlu diperluaskan kepada para penggerak parti di semua peringkat.
d. Mengaplikasikan fiqh at tadarruj ini dalam gerak kerja pengurusan parti, tarbiyah dan perkaderan serta dakwah dan penerangan.

G. PENUTUP
Sebagai mengakhiri kepada perbincangan fiqh at tadarruj ini, saya ingin mengemukakan kisah yang berlaku kepada khalifah yang wara’ dari kalangan Bani Umayyah, Khalifah Umar bin Abdul Aziz yang dengan penuh hikmah dan kebijaksanaan dan perhatian beliau melakukan segala-galanya dengan berperingkat-peringkat. Sehinggakan suatu hari, anaknya Abdul Malik, seoarang pemuda yang bertaqwa dan bersemangat berkata pada beliau;

“Wahai ayah, kenapa saya melihat ayah selalu lambat dalam melaksanakan segala urusan? Demi Allah, saya tidak peduli, sekalipun takdir memanggil kita selagi kita berada pada jalan Allah”.

Jawab Umar bin Abdul Aziz pada anaknya;

“Janganlah kamu tergesa-gesa wahai anakku. Allah telah mencela arak dalam al Qur’an pada dua ayat yang berasingan, kemudian barulah Allah mengharamkannya pada ayat yang ketiga. Saya bimbang jika saya memaksakan kebenaran kepada manusia secara keseluruhannya, hal ini akan mendatangkan fitnah kepada mereka”.

Mudah-mudahan kertas kerja Fiqh AT Tadarruj ini dijadikan sebagai pengantar, pengenalan dan muqaddimah kepada memahami hikmah dan maqasid syari’ah dan diamalkan dalam gerakerja Islam dan parti kita, InsyaAllah.

وأخر دعوانا أن الحمدلله رب العالمين

Muhammad Sufyan bin Haji Ismail
Ketua Urusan Ulama
PAS Kawasan Puchong
23 Rejab 1429 bersamaan 26 Julai 2008

Thursday, September 9, 2010

PERUTUSAN EIDULFITRI 1431 DARI MAKKAH AL MUKARRAMAH


Bismillah walhamdulillah wassolatuwassalamu ‘ala rasulillah wa ‘alihi wa man waalah
Assalamu alaikum wbh,
ALLAHU AKBAR ALLAHU AKBAR ALLAHU AKBAR WALILLAHIL HAMD


Dalam kesibukan dan cuaca panas di Makkah, saya cuba mencari sedikit ruang untuk menulis bagi paparan warga pas puchong.net sehari dua sebelum tibanya Eidul Fitri tahun ini. Alhamdulillah, Allah s.w.t telah mempermudahkan segala urusan saya sepanjang berada di dua tanah haram ini. Kemuncak keasyikan beribadah di sini ialah pada malam 27 Ramadhan dan malam dibacakan doa khatam al-Qur’an. Berita di sini melaporkan, malam tersebut hampir 3 juta manusia berkumpul di wadi yang mulia ini.

Saat itu sudah tiada rasa segan silu dan malu dengan orang sebelah menyebelah, air mata jatuh mengalir tika mendengar syahdunya doa Imam dan gamatnya suara jemaah mengaminkan doa tersebut. Berdiri dalam tempoh yang lama, menadah tangan ke langit, merayu-rayu memohon belas kasih dan keampunan Allah Ta’ala. Mungkin itulah sedikit gambaran saat kita merayu-rayu belas kasih Allah di Mahsyar kelak. Tiada kata dan bahasa yang dapat diungkap kecuali mereka yang pernah merasai keindahan beribadah pada saat itu sahaja.

Ramadhan sudah hampir melabuhkan tirai. Semua tawaran hebat daripada Rabbul Jalil akan tamat hanya dalam beberapa ketika sahaja. Kalaulah manusia dapat mendengar laungan khas di bulan Ramadhan sepertimana yang dikhabarkan oleh Nabi s.a.w dalam hadisnya, “Ya baghiyal khairi aqbil, wa ya baghiyas sarri aqsir”, nescaya mereka akan berlumba-lumba mendapatkan kelebihannya, dan serta merta menghentikan segala perkara keji, mungkar dan maksiat.

Ramadhan boleh dianggap bulan “genjatan senjata”. Biasanya istilah ini digunakan dalam situasi peperangan. Dalam peperangan, kumpulan yang mula-mula mencabuli “genjatan senjata” akan dianggap kumpulan yang tidak pandai menghormati terma-terma perjanjian dan sekaligus membatalkan perjanjian yang telah termeterai.

Demikianlah juga halnya Ramadhan. Ia menuntut kita melaksanakan “genjatan” pada perkataan, perbuatan, atau apa-apa yang bakal mencemarkan kesuciannya. Sehingga Nabi s.a.w mengingatkan pada sesiapa yang enggan meninggalkan qawl azzur [bercakap bohong, keji, fitnah, mendedahkan aib oarang lain dsb..] dan amalan-amalan yang berkaitan dengan, lebih baik orang ini agar tidak berpuasa kerna Allah s.w.t tidak berhajat kepada puasa manusia jenis ini.

Malangnya, sekian banyak kelebihan, kemanisan, keharuman dan sebagainya yang indah-indah menjadi tawaran istimewa Ramadhan, sedikitpun tidak menarik perhatian pada sesetengah spesies manusia ini. Mungkin kerna sudah terlalu asyik, sedap dan berahi pada perkara-perkara keji, fitnah-memfitnah, buruk sangka, sabotaj mensabotaj, mendedahkan keaiban orang lain, adu domba dan sebagainya yang sudah dianggap makanan ruji yang disantap oleh mereka setiap hari. Tak ubah seumpama anjing, yang merasa nikmat pada sisa-sisa makanan yang digeledah dari tong sampah, ataupun yang berlari-lari terjelir lidah mengejar tulang yang licin tiada berisi yang dibaling tuannya. Saban hari tulang itu dibaling oleh tuannya, saban harilah juga anjing itu akan mengejar, menggonggong dan menjilat-jilat tulang itu. Walaupun gambaran ini agak hina, tapi itulah sehampir-hampir perumpamaan pada manusia yang mencemar kemuliaan Ramadhan.

Saat ini kita sudah di hujung Ramadhan. Esok kita akan menyambut hari kemenangan yang besar. Kemenangan yang sewajar kita sambut sekiranya kita telah menjalani Madrasah Ramadhan sebaiknya. Sudah tentu kemenangan yang mutlak adalah di hari akhirat kelak. Kemenangan di dunia ini hanya sebagai ibtila’ [ujian] dan pinjaman sementara daripada Allah Ta’ala.

Dalam menghadapi kemenangan ini, kita semua diuji oleh Allah Ta’ala. Dan ujian paling besar ialah kenikmatan dunia. Pangkat dan kuasa adalah sebahagian nikmat dunia. Ramai orang yang gagal dalam ujian ini. Pengaruh, kekayaan dan kemewahan semuanya boleh terhasil dengan adanya pangkat dan kuasa. Kalau betul dan lurus tadbirnya, maka rahmat dan redha Allah yang bakal diperolehinya. Sebaliknya jika melencong dan bias, maka azab dan murka Allah pula yang bakal dihadapinya.

Justeru kepada diri saya terlebih dahulu, dan kepada semua sahabat-sahabat yang memegang jawatan biar apa pun nama jawatan itu, laksanakan amanah yang dipikul anda dengan sebaiknya. Tetapkan REDHA ALLAH adalah sasaran dan matlamat kerja buat anda. Ambillah teguran dan ingatan orang lain selama mana ia boleh dianggap sebagai nasihat yang baik. Singkirkanlah dan abaikan saja sekiranya teguran dan ingatan itu disampaikan dalam selimut hasad dengki, takkabbur dan buruk sangka.

Sekiranya kita benar, yang berhak membela hanyalah Allah s.w.t. Jangan sekali-kali mengharapkan pembelaan manusia. Manusia boleh berubah apabila kehendaknya tidak dituruti. Berapa banyak kawan yang bertukar menjadi musuh, dan berapa banyak pula musuh yang dengan hidayah Allah bertukar menjadi sahabat. Mengadulah, merintihlah dan merayulah pada Allah Rabbul Jalil. Dialah ALLAH, sebaik-baik tempat kita mengadu.

Sebagai bekalan kepada semua yang bergelar pemimpin, ambillah pengajaran kisah hidup Saidina Usman bin Affan r.a. Kisah yang wajar dijadikan muhasabah dalam urusan kepimpinan. Hujung hidupnya berakhir dengan fitnah. Beliau dikritik kuat cara pentadbirannya. Akhirnya, khalifah ke-3 dan menantu Rasulullah s.a.w. ini yang dimalui oleh para malaikat ini, menemui syahidnya dengan tangannya memeluk mushaf al-Qur’an. “Pemilik Dua Cahaya Rasulullah” ini akhirnya menjadi korban di tangan para pemberontak. Mayatnya disemadikan dengan senyap-senyap berhampiran perkuburan Baqi’ al Gharqad dan hanya dihadiri beberapa orang sahabat sahaja.

Mungkin akhir bagi seseorang pemimpin akan berlaku sebagaimana yang berlaku pada Saidina Usman. Apabila fitnah pemberontak sudah mengaburi mata, yang haq dianggap batil dan yang batil dianggap haq, dan diamnya seorang pemimpin kerna mahu menutup keaiban orang lain akan dianggap bisu dan mahu menyembunyikan maklumat. Sekiranya Allah s.w.t memilih saya mengakhiri urusan kepimpinan ini sebagaimana yang dihadapi oleh Saidina Usman, saya adalah orang yang paling bersyukur dan gembira kerna saya sedar saya tidak layak untuk memperolehinya.

Kepada semua ahli-ahli PAS Puchong khususnya, saya menyeru marilah kita gunakan sebaik yang mungkin bekalan-bekalan tarbiyah sepanjang di berada dalam Madrasah Ramadhan ini. Kuatkanlah perjuangan ini dengan iman, taqwa, sabar, istiqamah yang kita tuai dalam ibadah puasa. Perjuangan ini suatu perjalanan yang jauh, penuh onak dan duri dan tak dihampari permaidani indah.

Kalau sekiranya matlamat anda berada di dalam perjuangan ini mengharapkan kenikmatan dunia yang fana’ ini semata-mata, ketahuilah anda telah silap memilih jalannya. Anda akan menjadi serugi-rugi manusia. Jangan anda mencari nikmat dunia ini yang sementara, sehingga anda terlupakan kehidupan akhirat yang kekal abadi. Sekiranya akhirat yang kita cari maka dunia akan menuruti kita, sebaliknya jika dunia yang kita kejar maka akhirat akan mengecewakan kita.

Mudah-mudahan matlamat puasa, la’allakum tattaquun [supaya kamu bertaqwa] akan menjadi kurniaan istimewa Allah s.w.t kepada kita. Perjuangan ini hanya akan dibantu Allah apabila pemimpin dan “bala tentera” yang bersama-samanya berada dalam KETAQWAAN PADA ALLAH TA’ALA.

Akhirnya, mewakili saff kepimpinan PAS Puchong saya mengucapkan SELAMAT HARI RAYA EIDUL FITRI, MAAF ZAHIR BATIN kepada semua ahli-ahli PAS Puchong, para pengunjung paspuchong.net dan Blog PAS Puchong, dan semua muslimin dan muslimat di mana sahaja anda berada. Mudah-mudahan Allah s.w.t memberikan pedoman dan barakah pada semua gerakerja kita selama ini.

EID MUBARAK, TAQABBALLAHU MINNA WA MINKUM SOLIHUL A’AMAL
KULLU ‘AM WA ANTUM MUJAHIDUN

Salam hormat dari Tanah Haram Makkah al Mukarramah;
Muhammad Sufyan Ismail
YDP PAS PUCHONG
Akhir Ramadhan, 1431

Saturday, August 28, 2010

PERUTUSAN DARI MAKKAH AL MUKARRAMAH SEMPENA PROGRAM MEMPERINGATI BADAR AL KUBRA, PAS PUCHONG


Bismillah walhamdulillah wassolatu wassalamu ‘ala Rasulillah wa ‘ala alihi wa man waalah..wa ba’

Assalamu alaikum wbh,,

Semalam tanggal 17 Ramadhan, kita selalu diingatkan dengan peristiwa besar dalam sejarah kegemilangan Islam iaitu peperangan Badar al Kubra. Pagi Jumaat tersebut, di sebuah lembah bernama Badar menjadi saksi kepada pertempuran hebat antara yang mahu tunduk kepada Allah dan yang mahu terus tegar dengan peninggalan nenek moyang yang berbekaskan kufur dan jahiliah. Itulah hari yang Allah namakan Yaumul Furqan [hari yang membezakan antara yang haq dan batil].

Perang yang hanya melibatkan kira-kira 313 orang bala tentera di pihak Islam yang serba kurang kelengkapan peperangan berbanding bala tentera kuffar yang berjumlah kira-kira 1000 orang yang lengkap bersenjata. Pada peringkat awal, Rasulullah s.a.w dan sahabat-sahabat baginda keluar dari Madinah bukan dengan tujuan untuk berperang. Mereka hanya mahu memintas rombongan Abu Sufyan yang dalam perjalanan pulan dari Syam. Tindakan itu bagi melumpuhkan bekalan musuh yang berpusat di Makkah. Tetapi, Allah Ta’ala menghendaki yang lebih daripada itu.

Rasulullah s.a.w dan sahabat-sahabat baginda bertembung dengan bala tentera musuh yang lebih ramai dan lengkap bersenjata daripada mereka. Malah bala tentera Islam diuji oleh Allah, apabila antara yang terlibat di barisan musuh adalah di kalangan kaum keluarga mereka sendiri.

Ringkasnya, Allah mengurniakan kemenangan pada Islam dengan terbunuhnya 70 tentera musyrikin, dan 70 lagi menjadi tawanan orang Islam. Selebihnya bertempiaran lari kembali ke Makkah.

Betapa hebatnya dan besarnya pertolongan Allah dalam peristiwa ini, sehingga Allah berfirman dalam surah Ali ‘Imran, “Sesungguhnya Allah telah menolong kamu dalam perang Badar, sedangkan pada masa itu kamu adalah orang yang lemah. Kerna itu bertaqwa kepada Allah, mudah-mudahan kamu bersyukur”.

Sejarah yang dicatit dengan tinta emas ini kerap kali kita ulangi setiap kali hadirnya Ramadhan. Saya tak akan menulis kisah hebat peperangan ini sebagaimana pengkisahan sejarah dalam kitab-kitab yang ditulis para ulama’. Tulisan ini sedikit pun tidak akan menambah apatah lagi mengurang kehebatan karya-karya sejarah Islam peninggalan para ulama’ kita. Hanya sekadar ingin mengajak semua menghayati beberapa noktah penting dalam peperangan ini.

Antaranya pada jumlah bala tentera Islam yang jelas sekali berbeza berbanding bala tentera musuh. Al Qur’an menjelaskan bahawa bersama-sama bala tentera Islam ialah para malaikat, sebagaimana bala tentera musuh yang disertai sama syaitan sebagai pemberi semangat. Dengan jumlah yang lebih kecil ini, Allah Ta’ala memberi kemenangan pada Islam. Sudah tentu jumlah yang kecil ini, ialah kecil yang berkualiti.

Lihat sahaja apabila Rasulullah meminta pandangan daripada mereka, lantas salah seorang berkata, “Wahai Rasulullah, teruskan dengan apa yang ditunjukkan Allah padamu, nescaya kami akan bersama engkau. Demi Allah, kami tidak akan mengatakan pada engkau sebagaimana yang pernah dikatakan oleh Bani Israel kepada Musa a.s, “pergilah engkau bersama Tuhan engkau berperang, kami hanya mahu duduk di sini.” Akan tetapi kami akan berkata, “Pergilah engkau bersama Tuhan engkau berperang, sesungguhnya akan pasti akan menyertai bersama-sama berperang.”

Jawapan yang tegas ini tidak mungkin terpacul dari mulut seorang yang tidak yakin dengan janji kemenangan daripada Allah. Kalau dilihat ke kanan dan ke kiri, mana mungkin boleh menang dengan jumlah yang sedikit begini. Tetapi jumlah yang sedikit ini ialah mereka yang lebih cintakan akhirat daripada dunia, lebih cintakan mati daripada hidup, lebih cintakan Allah, Rasul dan Islam daripada segala-galanya.

Mungkin akan ada yang persoalkan, dalam sistem pilihanraya yang kita sertai kini kemenangan ditentukan dengan kelebihan undi. Seorang calon tetap dianggap menang sekiranya mendahului lawannya walaupun hanya dengan satu undi. Begitulah sebaliknya.

Memang benar kenyataan ini dan saya tak menafikan kebenarannya, tetapi ia sedikit pun tak patut menjejaskan keyakinan kita pada adanya bantuan-bantuan “ghaib” daripada Allah, sebagaimana Rasulullah dan para sahabat dibantu para malaikat dalam perang Badar ini. Saya masih ingat, dalam satu temuramah Tuan Guru Al Mursyidul ‘Am selepas kemenangan di Kelantan dalam satu siri pilihanraya umum, Tok Guru Nik Aziz ditanya tentang sebab kemenangan. Jawab Tok Guru bersahaja, “ada keserasian antara yang di bumi dengan yang di langit.”

Sudah tentu “bantuan-bantuan langit” ini tidak akan turun melainkan apabila kita benar-benar layak untuk menerimanya. Mari kita siapkan diri dengan ikhlas, sabar, pengorbanan, istiqamah, taat dan tawakkal bagi melayakkan kita menerima “bantuan-bantuan” ini. Sudah lama kita bergantung pada “bantuan-bantuan” manusia baik dari segi undi mahupun sokongan. Kita akan buat segala-gala yang mungkin bagi memastikan undi dan sokongan terus memihak kepada kita. Tetapi sejauh manakah dan sebanyak manakah pula munajat, rayuan dan harapan kita pada bantuan Allah Ta’ala agar memihak kepada kita..?

Mengambil kesempatan program Badar al Kubra yang bakal diadakan pada Ahad ini, dan saatnya kita menghampiri 10 hari terakhir Ramadhan, saya dengan rendah diri mengajak diri saya terlebih dulu dan semua ahli-ahli PAS Puchong khususnya untuk melipatgandakan lagi amal ibadah, qiyam, muhasabah dan munajat kita kepada Allah Rabbul Jalil. Tidak ada kekuatan hakiki melainkan kita cuba membina keutuhan hubungan kita dengan Allah s.w.t.

Ya Allah Ya Tuhan-ku, aku bermohon kepada-Mu akan segala kebaikan yang dipohon Nabi-Mu s.a.w, bagi diriku, kedua ibubapaku, keluargaku, sahabat-sahabat seperjuanganku dan kaum muslimin umumnya.

Ya Allah Ya Tuhan-ku, aku berlindung dengan-Mu dari segala kejahatan yang diminta berlindung oleh Nabi-Mu s.a.w, bagi diriku, kedua ibubapaku, keluargaku, sahabat-sahabat seperjuanganku dan kaum muslimin umumnya.

Ya Allah kepada engkaulah aku serahkan segala niat dan perancangan jahat daripada musuh-musuh yang mahu memperok-peranda jama’ah kami ini, sesungguhnya engkaulah sebaik-sebaik yang memberi pertolongan dan pembalasan.

Ya Allah, kepada-Mu kami berserah, kami beriman, kami bertaubat, dengan kerana-Mu kami berbalah, kepada-Mu kami berhukum, maka ampunilah dosa kami samada yang terang mahupun terlindung.

Ya Allah, aku berdoa sebagaimana Nabi-Mu s.a.w berdoa di hari Badar, Ya Allah kurniakanlah kepada kami apa yang telah engkau janjikan…

Ameen ya rabbal ‘alamin.

ISLAM ADIL UNTUK SEMUA

Salam dari Tanah Haram Makkah al Mukarramah,
Muhammad Sufyan bin Ismail
YDP PAS Puchong
18 Ramadhan 1431/ 8.00 pg [waktu Makkah]

Sunday, April 18, 2010

BELAJAR DARIPADA KESEDERHANAAN UMAR


oleh; Muhammad Sufyan Ismail

Hari itu hari Jumaat. Amirul mukminin Umar bin Abdul Aziz berjalan kaki bersama-sama beberapa orang menuju ke masjid untuk menunaikan solat jumaat. Namun ketika berada di masjid, ada sesuatu yang aneh pada penampilan Khalifah Bani Umayyah ini. Pakaiannya jauh lebih sederhana daripada para jamaah yang lain. Kelihatan tampalan di sana sini. Jauh lebih sederhana daripada rakyat biasa.

Salah seorang jamaah yang duduk tidak jauh daripadanya berbisik. “Wahai Amirul mukminin, sesungguhnya Allah telah mengurniakan kenikmatan kepada kamu. Mengapa kamu tak mahu menggunakannya sekadar berpakaian yang baik-baik?” Umar bin Abdul Aziz tertunduk sejenak seraya berkata, “Sesungguhnya bersederhana yang paling baik ialah di saat ketika kita kaya. Sebaik-baik kemaafan itu di saat ketika kita berada pada kedudukan yang kuat.”

Ucapan Umar bin Abdul Aziz ini bukanlah hanya semata-mata slogan dan manifesto. Dia benar-benar telah mempraktiknya. Beliau berusaha untuk bersederhana walaupun beliau sudah berada pada kedudukan yang boleh menjadikannya kaya raya. Penampilannya selepas menjadi khalifah amatlah berbeza dengan keadaan sebelumnya.

Kesederhanaan Umar bin Abdul Aziz dalam kehidupannya benar-benar mengikut jejak langkah Rasulullah dan para sahabatnya. Kesederhaannya dalam berpakaian contohnya, ketika Maslamah bin Malik menziarahinya saat beliau sedang sakit. Maslamah melihat pakaian Umar yang kotor. Maslamah berkata kepada isteri Umar, Fatimah binti Abdul Malik, “Mengapa engkau tak cuci pakaiannya?” . Fatimah menjawab, “Demi Allah, dia tidak memiliki pakaian yang lain melainkan apa yang dipakainya.”

Kesederhanaan Umar bukan semata-mata dipraktikkan ke atas dirinya. Keluarga dan kaum kerabatnya juga diminta melakukan hal yang sama. Pernah suatu ketika, Umar bin Abdul Aziz memanggil isterinya, Fatimah binti Abdul Malik yang mempunyai banyak perhiasan intan dan mutiara. Kata Umar, “Wahai isteriku, kamu pilihlah, samada kamu kembalikan perhiasan-perhiasan ini kepada Baitul Mal ataupun kamu izinkan aku meninggalkan kamu selama-lamanya. Aku tak suka apabila aku, kamu dan perhiasan ini berada dalam satu rumah.” Fatimah menjawab, “Saya memilih kamu daripada perhiasan-perhiasan ini. Bahkan lebih daripada itupun saya tetap memilih kamu.”

Puteranya, Abdul Aziz bin Umar bin Abdul Aziz ketika ditanya oleh Abu Jaafar al Mansur perihal kekayaan ayahnya. Jaafar bertanya, “Berapa banyakkah kekayaan ayahmu sejak dari mula dia dilantik menjadi khalifah?” Jawab Abdul Aziz, “Empat puluh ribu dinar.” Jaafar bertanya lagi, “Lalu berapa banyak pula kekayaan ayahmu ketika dia meninggal dunia?”

“Empat ratus dinar. Itupun kalau belum berkurang,” jawab Abdul Aziz.

Umar bin Abdul Aziz telah memberikan pengajaran yang amat berharga bagi para pemimpin. Samada pemimpin hari ini dikenali wakil rakyat atau sebagainya, itu hanya berkisar dari segi penggunaan istilah. Hakikatnya mereka yang diangkat oleh rakyat adalah pemimpin. Seringkali seorang pemimpin itu biasa hidup dalam keadaan sederhana sebelum diangkat menjadi pemimpin, tetapi kehidupannya tiba-tiba berubah apabila kuasa dan kekayaan berada di dalam genggamannya.

Kuasa seolah-olah menjadi jentolak bagi mengaut kekayaan sebanyak mungkin. Keringat rakyat bawahan diperah sedapat yang mungkin bagi memastikan tempoh memegang jawatan benar-benar dimanfaatkan. Kehidupan dengan cepat berubah. Masa inilah digunakan sebaik-baiknya bukan hanya mengumpul kekayaan bagi dirinya, malah tidak terkecuali kaum keluarga dan kroni-kroninya. Padahal, sebelum menjadi pemimpin keadaannya tidak banyak berbeza dengan rakyat biasa. Sudah tentu sungguh amat berbeza dengan Umar bin Abdul Aziz.

Mungkin sebahagian akan beralasan, ini adalah haknya yang sahih untuk dimiliki sebagai pemimpin. Apa salahnya bermewah-mewah sedikit bagi menunjukkan kehebatan penampilan seorang pemimpin. Bukankah imej penampilan diri dan kehidupan seorang pemimpin mempunyai daya pengaruh dan tarikan kepadanya.

Perlu difahami, bersederhana bukanlah meninggalkan kemudahan segala-galanya. Bersederhana bukanlah sampai hadir ke parlimen dengan berbasikal, tinggal di pondok yang dibuat daripada buluh atau berkaki ayam kerana melawat kawasan. Tegasnya, rakyat yang telah membuat pilihan mahu melihat sejauh mana pengorbanan pemimpin yang telah dipilih mereka. Apalah ertinya pemimpin yang telah dipilih hanya membawa bendera yang lain tetapi watak dan lakonan yang sama sahaja dengan pemimpin yang sebelumnya.

Umar bin Abdul Aziz adalah permata yang sentiasa bersinar dan cermin yang tak pernah pudar. Sejarahnya diabadikan dengan tinta emas dan menjadi inspirasi bagi orang yang benar-benar mengharapkan kemudahan ketika dihisab oleh Allah s.w.t di hari akhirat kelak. Jawatan, kedudukan, kuasa dan kekayaan yang sudah berada di dalam genggamannya, tidak mudah membuatnya tenggelam punca dan lupa diri. Kesederhaan dalam kehidupan yang menjadi pilihannya setelah diangkat menjadi khalifah, sedikitpun tidak menggusarkan fikirannya kalau-kalau dianggap seiringan dengan penampilan pemimpin-pemimpin negara yang lain. Sebaliknya kesederhaan inilah yang menjadi sebab Umar disegani kawan dan lawan.

Tidak hairanlah, saat ketika berita Umar bin Abdul Aziz meninggal dunia tersebar, Kaisar pemerintah Rom yang paling kuat menentang Islam pada waktu itu berkata, “Aku tidak hairan melihat seorang rahib yang menjauhi dunia dan asyik beribadah. Tetapi, aku benar-benar hairan ketika melihat raja yang memiliki kekayaan yang begitu besar, lalu dibuangnya jauh-jauh, sehingga dia hanya berjalan kaki dan memilih kehidupannya yang selayak bagi seorang fakir muskin.”

Kuasa, kedudukan dan kekayaan pasti akan menjadi hal yang melambatkan urusan hisab pada hari semua manusia akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah s.w.t. Tentunya cara Allah menghakimi dan mengadili berbeza sangat dengan dengan kebiasaan mahkamah dunia yang sering bias dan tergelincir. Pemegang kuasa, kedudukan dan kekayaan sama seperti dengan yang lain, tidak akan terlepas dari saat ini.

Kuasa, kedudukan dan kekayaan adalah sebahagian lambang dunia. Pemimpin yang mengendalikan dunia dan bukan sebaliknya. Ambillah peringatan Rasulullah s.a.w kepada para sahabatnya ketika berpusu-pusu mahu mendapatkan bahagian masing-masing daripada harta yang dibawa Abu Ubaidah ‘Amir bin Jarrah, sekembaliya daripada Bahrain, sabda baginda, “Demi Allah, bukanlah kefakiran yang aku lebih takut menimpa ke atas kamu, akan tetapi aku lebih takut dibentangkan dunia kepada kamu sebagaimana telah dibentangkan kepada orang yang terdahulu daripada kamu. Maka kamu akan berlumba-lumba mendapatkan dunia itu sebagaimana orang-orang terdahulu pernah berlumba-lumba mendapatkannya, maka kamu akan dibinasakan sebagaimana mereka telah dibinasakan.”

Kepada yang diangkat memimpin, bersederhanalah dalam kehidupan kalau mahu menjadi ingatan indah dalam lipatan kenangan rakyat yang dipimpin, atau juga mahu bernafas panjang dalam kepimpinan. Bersederhanalah kerana itulah wibawa Umar bin Abdul Aziz, wibawa seorang pemimpin.

Wednesday, February 17, 2010

HORMATILAH PIMPINAN


Ditulis; Sufyan Ismail.

Seusai kewafatan Rasululullah s.a.w berlaku antaranya dua fitnah besar dalam Islam. Pertama lahirnya golongan yang mengaku nabi, dan kedua golongan yang enggan membayar zakat. Kedua sejarah hitam ini telah membuktikan kebijaksanaan dan keteguhan siasah Saidina Abu Bakar as Siddiq r.a.

Sudah tentu bagi ramai orang tindakan memerangi golongan yang pertama ini mudah difahami, tetapi tindakan Abu Bakar mahu memerangi golongan yang kedua menimbulkan keresahan di kalangan para sahabat. Antara yang paling ketara menzahirkan keresahannya ialah orang yang sentiasa memberi sokongan pada Abu Bakar, Saidina Umar al Khattab r.a.

Bagi Umar mana mungkin hanya dengan satu kefardhuan yang ditinggalkan maka tindakan tegas perlu diambil. Mereka hanya enggan bayar zakat. Adapun yang lain-lain tetap dibuat. Umar jelas sekali berlainan. Sikapnya yang terkenal tegas, tiba-tiba bertukar menjadi lunak. Bukan kerana mahu meringan-ringan hukum Allah, tetapi mungkin atas banyak pertimbangan.

Umar menyoal Abu Bakar; bagaimana mungkin engkau hendak memerangi mereka?

Lantas Abu Bakar dengan tegas berkata; Sabda Rasulullah s.a.w; Aku diperintahkan memerangi manusia sehinggalah mereka berkata “la ila ha illallah”, maka apabila mereka berkata demikian maka terpeliharalah darah-darah dan harta benda mereka daripadaku, kecuali dengan haknya (yang perlu ditunaikan), dan hisabnya terpulang pada Allah.”

Demi Allah! Aku akan perangi orang yang memisahkan antara solat dan zakat. Sesungguhnya zakat adalah hak harta. Jika mereka enggan menyerahkan kepadaku hanya dengan seutas tali pengikat unta yang sudah biasa mereka berikannya kepada Rasulullah s.a.w, nescaya aku akan perangi mereka sehingga mereka menyerahkannya kepadaku!.
Saidina Umar yang mendengar penjelasan itu berkata; Demi Allah! Dia telah melapangkan dada Abu Bakar untuk berperang, maka ketahuilah aku bahawa tindakannya itu benar.

Episod menarik ini perlu dihayati oleh semua, khasnya para petugas kerja-kerja Islam. Saidina Abu Bakar memberi contoh kebijaksanaan dan keteguhan sang pemimpin dalam mengambil keputusan dan tindakan siasah. Walaupun pada awalnya, Saidina Umar dengan jelas mezahirkan bantahannya, tetapi apabila sudah dijelaskan dan diputuskan sang pemimpin, beliau akur dan taat dengan keputusan tersebut.

Sejarah mencatatkan Abu Bakar dan Umar, kedua-duanya mempunyai kedudukan yang istimewa di sisi Rasulullah. Samada mahu dikira dari segi hubungan darah dan kekeluargaan mahupun dalam persahabatan. Tetapi apabila Rasulullah kembali ke sisi Allah dan ummat Islam membai’ah Abu Bakar sebagai galang ganti Rasulullah, saat itu Umar bukan sahaja mengganggap Abu Bakar adalah sahabatnya malah juga sebagai pemimpinnya.

Penyelesaian dalam isu pertikaian mengambil tindakan ke atas golongan yang enggan membayar zakat itu telah meletakkan Saidina Umar sebagai antara contoh terbaik sikap seorang yang dipimpin dengan yang memimpin. Boleh sahaja Saidina Umar buat “keras kepala” untuk menidakkan keputusan Saidina Abu Bakar. Dia juga bukan calang-calang sahabat.

Inilah yang perlu kita pelajari. Akhir-akhir ini sebahagian kecil mungkin di kalangan kita hampir mengabaikan perkara ini. Atas nama bebas untuk bersuara dan beri pandangan, demokrasi dalam parti jangan disekat dan pelbagai alasan lagi, kita sudah hilang malu “menelanjangkan” pimpinan kita kepada umum.

Bukan bermaksud sang pemimpin tak boleh diberi pandangan, dikritik, dinasihat dan sebagainya. Berilah segala benda yang mahu terpacul dari dalam mulut kita, tetapi beradablah. Kajilah, siasatlah dan selidiklah terlebih dulu. Kalau perkara yang boleh bercakap dua orang mengapa perlu dipanggil satu stadium untuk mendengarnya, kalau perkara yang boleh bercakap dalam bilik mengapa perlu ke padang luas, kalau perkara yang hanya bersifat terpencil mengapa mahu menayang-nayang di khalayak ramai. Dan apabila sudah ada ketetapan dan keputusan yang telah diambil, akurlah dan hormatilah keputusan tersebut.

Terus terang saya merujuk kepada kritikan-kritikan selepas keputusan Lembaga Disiplin dan Tatatertib baru-baru ini. Hari ini, keadaan sudah jadi terbalik. Lembaga Disiplin sudah diletakkan dalam “kandang orang tertuduh”. Rumah dah siap tapi pahat masih berbunyi.

Ada yang memberi ulasan dari aspek perundangan mengikut fahamnya, dan ada juga yang menaqalkan kisah Hatib bin Abi Balta’ah r.a untuk seolah-olah mereview semula keputusan Lembaga Disiplin. Saya lebih berminat untuk mencari-cari di mana logiknya dan wajhu dilalah dengan kes yang telah dibicarakan dengan kisah Hatib bin Abi Balta’ah.

Dengan sumber yang terhad saya mendapat ulasan yang pada perkiraan saya tepat berhubungkait kisah tersebut dalam kitab Al Mustafad min Qisosil Qur’an oleh Dr. Abdul Karim Zaidan. Ulama’ yang sekarang bermastautin di Yaman ini memberi komentar berhubung kait peristiwa tersebut di halaman 402, juzu’ kedua dengan secara ringakas saya buatkan kesimpulannya, tidak harus mengikuti tindakan Rasulullah s.a.w memberi kemaafan kepada Hatib bin Abi Balta’ah r.a ke atas orang yang melakukan perbuatan atau tindakan yang seumpama dengannya, kerana yang jelas tindakan Rasulullah memberi kemaafan kepada Hatib bin Abi Balta’ah atas sebab dia adalah kalangan Ahli Badar. Inilah yang difahami oleh Imam Malek r.a ketika dia berpendapat bahawa pengintip muslim (membocorkan rahsia ummat Islam) hendaklah di bunuh. Ini menjadi dalil bahawa Islamnya seseorang pengintip itu tidaklah memberi kekebalan kepadanya daripada dijatuhkan hukuman yang sewajarnya kerana bahaya jenayah yang telah dilakukannya.

Sememangnya ada tasamuh atau toleransi yang boleh diambil perhatian walaupun sebesar mana pelakuan kesalahan seseorang yang sudah banyak berkhidmat untuk Islam dan melakukan kebaikan. Tetapi untuk menyandarkan pembelaan kepada kemaafan yang diberikan Rasulullah s.a.w kepada Hatib adalah suatu yang kurang tepat.

Sekiranya kita benar ikhlas mahu menjaga perpaduan dan keharmonian parti, mengapa tidak saja kita hebahkan kepada ramai dan kita jadikan teladan kisah Ka’ab bin Malek r.a dan dua lagi sahabat yang diasingkan Rasulullah kerana kesalahan tidak bersama-sama dalam Perang Tabuk. Walaupun tindakan yang diterima mereka amat berat, tetapi akhirnya memhasilkan “buah yang manis” untuk dinikmati lantaran keberkatan taat kepada keputusan Rasulullah s.a.w.

Akhirnya, berilah sedikit ruang kepada pemimpin kita untuk membuat keputusan dan ijtihad-ijtihad siyasi dalam rangka menegakkan kalimah Allah di atas muka bumi ini. Rasulullah pun membezakan antara perkara yang menjadi “wahyu” yang tak boleh diubahsuai dengan perkara yang menjadi pendekatan dan strategi yang sifatnya murunah dan anjal.

Malang sekali apabila kita terkehadapan menjadi hulubalang begitu lantang mengkritik keputusan dan pandangan pemimpin parti kita, tetapi sunyi sepi apabila Revolusi 16 September yang dicanang sekutu politik kita gagal daripada direalisasikan. Hampir tak ada yang mengatakan itu memberi persepsi yang buruk pada Pakatan Rakyat, padahal kita dipaksa setiap saat beratib bahawa persepsi amat penting di atas pentas politik masa kini. Kita berani mendedahkan itu dan ini akan kesilapan pemimpin kita, tetapi kita lunak dan bersuara lembut bila berhadapan dengan musuh kita.

Adakah kita sudah makin jauh dari matlamat sebenar perjuangan ini..?

Ya Allah, jauhkan aku daripada membela orang yang zalim, atau menzalimi orang yang dianiayai..

Rabu, 03 Rabi’ul Awwal 1431

Wednesday, February 10, 2010

BIJAKSANA

Ditulis; Sufyan Ismail

Perbalahan sudah berlanjutan selama empat atau lima malam. Isunya siapa yang lebih berhak meletakkan Hajar Aswad di tempat asalnya. Keadaan semakin meruncing sehingga Abu Umamah bin al Mughirah al Makhzumi, bapa saudara Khalid bin al Walid telah mencadangkan kepada mereka supaya mencari seorang hakim untuk menyelesaikan perbalahan tersebut. Hakim yang dicadangkan ialah orang yang pertama masuk dari pintu masjid. Mereka pun bersetuju dengan cadangan itu. Allah mentakdirkan bahawa orang yang ditunggu-tunggu itu ialah Rasulullah s.a.w. Apabila mereka melihat baginda, mereka pun bertempik; Inilah orang yang jujur, kami bersetuju dengannya. Inilah Muhammad.

Setibanya Nabi kepada mereka, baginda dimaklumkan tentang cadangan tersebut. Baginda meminta sehelai kain lalu diletakkan batu itu di tengah-tengah kain dan meminta semua ketua kabilah yang berbalah itu memegang bucu kain tersebut. Baginda menyuruh mereka mengangkat kain itu sehingga apabila sampai ke tempatnya, baginda sendiri mengambil batu itu dengan tangannya dan meletakkan sendiri di tempatnya. Inilah penyelesaian yang bijak yang direstui semua pihak. Demikianlah sebahagian catatan sirah Rasulullah s.a.w oleh Safiyurrahman al Mubarakfuri dalam kitabnya ar Rahiq al Makhtum.

Zaman terus berputar. Catatan yang menggambarkan sifat fatanah ini pada diri Rasululluh terus diulang-ulang lebih-lebih lagi dengan kehadiran bulan Rabiulawwal atau dikenal “bulan maulid” ini. Dalam bahasa yang lebih mudah difahami fatanah diberi maksud bijaksana dalam bahasa ibunda. Rujukan yang muktabar dalam Bahasa Melayu, Kamus Dewan (edisi keempat) memberi makna bijaksana ialah berakal budi, arif, pandai dan berhati-hati.

Bijaksana atau kebijaksanaan Rasulullah s.a.w adalah sifat yang wajib bagi setiap nabi dan rasul. Kebijaksanaan Rasulullah s.a.w menyelesaikan masalah dengan cara yang diterima oleh semua pihak yang terlibat telah menyelamatkan mereka dari pertumpahan darah. Perlu diingat, kebijaksaan ini ditonjolkan oleh Allah sebelum baginda diangkat menjadi nabi dan rasul, supaya tidak ada alasan yang benar untuk mereka bermusuh dengan Rasulullah apabila diajak kepada Islam.

Bijaksana inilah yang perlu diteladani dan dimiliki oleh semua, lebih-lebih lagi di kalangan yang memimpin. Bukan soal yang dipimpin tidak perlu kepada sifat ini, tetapi yang memimpin lebih berhajat lagi. Bijaksana sang pemimpinlah yang bakal mencorakkan kebijaksanaan pengikut-pengikutnya.

Seorang pemimpin yang bijaksana bukan sahaja dinilai kepetahannya berpidato, tetapi perlu dinilai sejauh mana dia berjaya menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi dalam perjuangannya. Al Marhum Ustaz Sa’id Hawwa menamakan Rasulullah s.a.w sebagai al qiyadah as siyasiyyah al ulya (pemimpin politik tertinggi) dalam kitabnya Ar Rasul, menyenaraikan tidak kurang lima masalah utama yang diselesaikan oleh baginda yang boleh dijadikan panduan.

Dalam suasana sekarang, kita semua amat berhajat kepada sifat bijaksana ini. Situasi “kalah dalam menang” dalam pilihanraya lalu memerlukan pemerhatian yang lebih teliti. Hubungan atas prinsip Tahaluf Siyasi perlu dimanfaat sebaik mungkin.

Hasil daripada pilihanraya lalu, Allah s.w.t menganugerahkan kepada kita medan dakwah yang lebih selesa daripada sebelum ini. Situasi ini perlu benar-benar diambil peluang untuk menyampaikan mesej Islam dan jamaah kepada sasaran dakwah kita.

Bijaksana dalam dakwah jangan sampai meninggalkan apa yang sudah dimiliki. Jangan sampai markaz yang dibina atas pengorbanan ikhlas ditinggalkan sepi kerana alasan masjid dan surau hendak dimakmurkan. Jangan sampai hubungan dengan sahabat-sahabat seaqidah perjuangan makin renggang hanya kerana alasan hendak mencari pengundi dan penyokong baru. Paling kurang semua itu berjalan seiringan. Jangan sampai yang dikendong berciciran, yang dikejar tak dapat.

Dalam berpolitik hari ini, pimpinan kita menerimapakai prinsip Tahaluf Siyasi. Sebagai ahli adalah menjadi kewajipan kepada semua untuk taat dalam perkara ini. Prinsip ini telah membawa kita ke lanskap politik yang agak berbeza yang memerlukan kita “berkawan baik” dengan rakan-rakan politik yang lain. Ada perkara yang kita dapat dan ada perkara yang kita terpaksa korbankan. Tetapi bumi tidak akan sentiasa disirami hujan. Pakatan ini boleh kekal dan boleh musnah. Dalam keadaan inilah, kebijaksaan kita dalam berpolitik amatlah penting. Jangan sampai dalam tempoh yang manis ini, ahli-ahli kita mula teruja dan menyeberang ke bahtera rakan politik kita yang sudah kelihatan sekarang agak stabil dan berpengaruh. Dalam berkawan dan bermusuh, Nabi ada berpesan jangan terlalu kamu membenci musuh kamu nanti suatu hari orang yang dibenci bertukar menjadi orang yang kamu kasih. Dan janganlah terlalu kasih kepada kawan kamu nanti suatu hari orang yang kamu kasih menjadi musuh kamu.

Kesimpulannya, kita semua berhajat kepada sifat bijaksana ini,samada yang memimpin atau yang dipimpin. Sudah tentu yang memimpin amat-amat dituntut. Kita perlu bijaksana dalam berharakah, berdakwah, berpolitik dan segala-galanya. Bijaksana bukan bermakna memilih pandangan yang lebih popular tetapi bijaksana adalah berprinsip, berupaya menilai dan membuat keputusan, tegas dan berhati-hati. Dalam Islam semua itu tidak boleh lari daripada berpedomankan al Quran dan as Sunnah. Apalah ertinya kita menjadi umat kepada Nabi yang bijaksana, kalau bijaksananya itu tidak dapat kita teladani.

Monday, January 25, 2010

KRITIK



Umar tenang. Beliau tetap di atas mimbar. Sedikit pun beliau tidak melenting apabila pidato tiba-tiba dipotong oleh seorang hadirin. Orang ramai memerhatikan peristiwa yang mengejutkan itu. Yang dikritik bukan calang-calang orang. Seorang pemimpin bertaraf Khalifah.

“Kami tak akan mendengar kata-katamu dan taat kepadamu, selama kami belum tahu, dari mana engkau dapat pakaian yang ada pada tubuhmu ini?” bentak orang yang bertanya itu. Umar sedar kain yang dibuat pakaiannya itu hasil ghanimah yang diterimanya. Saiznya tak cukup untuk sepasang pakaian. Apatah lagi saiz tubuhnya lebih besar berbanding orang lain.

Umar faham akan kritikan itu. Anaknya Abdullah bin Umar r.a dipanggil untuk memberi penjelasan, katanya “Wahai Abdullah! Orang ini berhak curiga kepada aku, dan kita wajib menjelaskan padanya sehingga hilang kecurigaannya itu. Terangkanlah bagaimana aku dapat kain yang lebih itu.”
Abdullah pun menjelaskan, “Memang benar satu bahagian kain itu tak mencukupi bagi dibuat pakaian ayahku ini, apatah lagi badannya lebih besar berbanding dengan lain. Jadi yang lebih itu adalah bahagian aku yang aku berikan padanya. Tegasnya, satu bahagian aku dan satu bahagiannya sendiri. Aku harap aku sudah memberi penjelasan.”

Demikianlah Amirul Mukminin Umar bin al-Khattab r.a. Bukan itu kali pertama dia dikritik. Sudah beberapa kali beliau berhadapan dengan situasi sedemikian. Malah khalifah yang terkenal dengan ketegasannya itu pernah ditegur dan dikritik oleh seorang perempuan, dengan tenang dia berkata, “Semoga Allah merahmati orang yang menghadiahkan aibku kepadaku.”

Kritik merupakan anasir yang sihat dalam kepimpinan. Dengan kritikan, kepimpinan akan sentiasa berada di landasan yang betul. Mungkin kritikan amat sukar diterima. Apatah lagi kalau yang dikritik itu pemimpin dan yang mengkritik itu orang bawahan saja. Kritik itu ibarat ubat yang pahit, tetapi ubat yang pahit itulah selalunya lebih berkesan dan mujarab.

Seharusnya ketika dikritik, seorang pemimpin hendaklah tenang dan tak terbawa-bawa dengan emosi yang melulu. Pemimpin perlu mempunyai sifat tawadhu’ atau rendah diri dan menjadi pendengar yang baik. Sememangnya menjadi pendengar yang baik adalah sebahagian kerja pemimpin. Bahkan itulah yang menggambarkan kematangannya sebagai pemimpin.

Seorang pemimpin perlu berprasangka baik terhadap pengkritiknya. Berprasangka baik ini lahir daripada sifat tasamuh atau toleransi dan kasih sayang seorang pemimpin kepada orang bawahannya. Lapangkanlah sedikit ruang di dalam hati kita untuk cuba mendengar, memahami dan menerima kritikan sekiranya kritikan itu benar walaupun ia sepahit hempedu dan setajam pedang. Kuasa, kedudukan dan senioriti dalam organisasi tidak sepatutnya menjadi kekebalan dan penghalang daripada seseorang pemimpin itu dikritik.

Perlu diingat bukan semua kritikan mesti dijawab atau diterima. Pemimpin mesti mempunyai jatidiri dan berprinsip dalam menerima kritikan dan pendapat. Dalam masa yang sama, seorang pemimpin perlu terbuka dalam menghadapi kritikan dan pendapat. Persoalan yang lebih penting bagaimana sesuatu kritikan itu perlu dikendalikan, kemudian diterima mahupun diabaikan.

Kepada yang mengkritik, teruskanlah kerja anda yang mulia itu. Cuma pastikan berniat ikhlas, mempunyai asas dan maklumat yang tepat bila mengkritik, menggunakan pendekatan yang hikmah dan bukan hanya menjadi “penghangat suasana” apabila sesuatu isu atau kritikan diperdebatkan. Pastikan benar-benar kritik adalah kritik, bukan tersasar menjadi tuduhan melulu dan umpat yang membinasakan diri.

Yang dikritik pula berlapang dadalah. Jangan terburu-buru menjawab setiap kali dikritik. Ada kalanya berdiam diri sementara waktu adalah senjata paling ampuh dalam menghadapi kritikan. Anggaplah dikritik ibarat dihadiahkan ubat. Ubat kepada penyakit takabbur, ‘ujub dan sum’ah yang ada dalam diri. Orang sehebat Umar r.a pun dikritik, apatah lagi kita yang begitu jauh tarafnya berbanding Umar. Teladanilah Umar dalam berhadapan dengan kritikan kepadanya.

Saya termenung seketika apabila membaca tulisan al-Marhum Dr. Sayyid Muhammad Nuh yang mengungkapkan “menolak kritik dan nasihat adalah wabak penyakit di jalan dakwah.” Marilah sama-sama kita ubati penyakit ini sebelum ia parah.

Muhammad Sufyan Ismail

Friday, January 22, 2010

PENGGUNAAN KALIMAH ALLAH



[Tulisan Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang, Presiden PAS dalam laman rasminya]

Penggunaan kalimah "Allah" oleh penganut agama bukan Islam telah menjadi bahan polemik hangat dalam negara kita, dan ianya menjadi semakin panas setelah pihak Mahkamah Tinggi membuat keputusan memberi keizinan kepada pihak gereja Katholik menggunapakai perkataan Allah dalam bahan penerbitan mereka. Realiti kehidupan dalam negara kita ialah, kedudukan masyarakat Kristian adalah dalam lingkungan kehidupan masyarakat umum yang hidup secara bersama, khususnya masyarakat yang hidup di dalamnya umat Islam, mahu tidak mahu ianya akan menyentuh perasaan mereka, kerana perkataan Allah adalah sangat mulia di sisi umat Islam.

Apa yang menghairankan ialah, sebelum ini pengamal ajaran Kristian itu menyebut ‘tuhan’ dengan bahasa mereka masing-masing. Ada pun umat Islam yang terdiri daripada berbagai bangsa dan bahasa tetap berlafaz dan menulis dengan perkataan “Allah” dari kitab suci mereka (Al-Quran). Perkataan “Allah” ini tidak diterjemahkan lagi ke dalam bahasa masing-masing, kerana perkataan Allah tidak mampu diterjemahkan ke dalam bahasa lain, dengan berpegang kepada makna asalnya dalam bahasa Al-Quran.

Persoalannya ialah, adakah ianya boleh dibenarkan begitu sahaja di atas konsep kebebasan beragama? Hakikatnya, kebebasan secara saksama seharusnya mempunyai batas sempadan yang tidak menimbulkan masalah sehingga boleh mencetuskan perkara yang boleh merosakkan hubungan sesama manusia. Jangan sampai kita ‘terbabas’ dalam mencari kebebasan. Perkara ini perlu dijawab secara ilmu, kerana umat Islam menyebut dan menulis kalimah Allah mengikut maknanya yang sebenar sehingga menjadi akidah yang menjadi asas kepada amalan mereka.

Apa yang perlu difahami ialah, adakah penggunaan perkataan Allah oleh penganut agama lain itu adalah mengikut makna perkataan “Allah” yang tepat, dengan maksudnya yang sebenar dari segi bahasa Arab? Atau adakah mereka yang bukan Islam itu memakai perkataan itu dengan mempunyai maksud mereka sendiri yang tidak tepat mengikut bahasa bangsa yang menggunakannya, sehingga ianya boleh menjadi ejekan atau mengurangkan maksudnya sehingga menyentuh perasaan penganut Islam yang memuja kalimah ini? Suatu hakikat yang perlu difahami dengan terang dan nyata ialah, bahawa umat Islam di serata dunia yang terdiri daripada berbagai bangsa dan bercakap berbagai bahasa pula, sedang menggunakan perkataan “Allah” mengikut maksudnya yang sebenar inilah.

Perkataan Allah disebut oleh orang Arab atau pengguna bahasa Arab yang menganut berbagai agama, sama ada penganut Yahudi, Kristian dan penyembah berhala sejak dahulu kala. Al-Quran menyebut secara jelas bahawa penganut agama-agama itu menyebut dan menulis perkataan Allah.

Firman Allah bermaksud:

Dan sesungguhnya jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: "Siapakah yang menciptakan langit dan bumi, dan yang memudahkan matahari dan bulan (untuk faedah makhluk-makhlukNya), sudah tentu mereka akan menjawab: "Allah". Maka bagaimana mereka tergamak dipalingkan (oleh hawa nafsunya daripada mengakui keesaan Allah dan mematuhi perintahNya)?. (Surah al-Ankabut: 61)

Firman Allah bermaksud:

Dan sesungguhnya jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: "Siapakah yang menurunkan hujan dari langit, lalu ia hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya? sudah tentu mereka akan menjawab: "Allah". Ucapkanlah (wahai Muhammad): "Alhamdulillah" (sebagai bersyukur disebabkan pengakuan mereka yang demikian), bahkan kebanyakan mereka tidak memahami (hakikat tauhid dan pengertian syirik). (Surah al-Ankabut: 63)

Firman Allah bermaksud:

Dan sesungguhnya jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: "Siapakah yang menciptakan langit dan bumi?" sudah tentu mereka akan menjawab: "Allah". Ucapkanlah (wahai Muhammad): "Alhamdulillah" (sebagai bersyukur disebabkan pengakuan mereka yang demikian - tidak mengingkari Allah), bahkan kebanyakan mereka tidak mengetahui (hakikat tauhid dan pengertian syirik). (Surah Luqman: 25)

Firman Allah bermaksud:

Dan demi sesungguhnya! jika engkau (Wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: "Siapakah yang mencipta langit dan bumi?" sudah tentu mereka akan menjawab: "Allah". Katakanlah (kepada mereka): "Kalau demikian, bagaimana fikiran kamu tentang yang kamu sembah yang lain dari Allah itu? jika Allah hendak menimpakan daku dengan sesuatu bahaya, dapatkah mereka mengelakkan atau menghapuskan bahayanya itu; atau jika Allah hendak memberi rahmat kepadaku, dapatkah mereka menahan rahmatNya itu?" Katakanlah lagi: "Cukuplah bagiku: Allah (yang menolong dan memeliharaku); kepadaNyalah hendaknya berserah orang-orang yang mahu berserah diri". (Surah az-Zumar: 38)

Firman Allah bermaksud:

Dan demi sesungguhnya! jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: "Siapakah yang menciptakan langit dan bumi?" sudah tentu mereka akan menjawab: "yang menciptakannya ialah Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengetahui". (Surah az-Zukhruf: 9)

Firman Allah bermaksud:

Dan demi sesungguhnya! jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka: "Siapakah yang menciptakan mereka?" sudah tentu mereka akan menjawab: "Allah!". (jika demikian) maka bagaimana mereka rela dipesongkan (dari menyembah dan mengesakanNya)? (Surah az-Zukhruf: 87)

Ayat-ayat tersebut di atas mendedahkan bahawa orang-orang bukan Islam yang menganut berbagai agama itu mengaku wujudnya Tuhan yang bernama Allah mengikut naluri dalam Tauhid Rububiyyah (adanya Tuhan Pencipta Alam) dan ianya hanya sekadar itu. Namun kepercayaan mereka sebegini tidak menepati hakikat dari makna perkataan Allah mengikut maknanya yang sebenar, iaitu supaya mengesakan Allah dalam ibadah dan cara hidup seluruhnya.

Hari ini kita melihat mukjizat Al-Quran, apabila mereka memaksa diri untuk menggunakan perkataan Allah, pada hal selama ini mereka menggunakan perkataan yang menamakan Tuhan dengan bahasa masing-masing seperti God dan Lord; dan kalau itulah Allah mengikut kefahaman mereka maka ianya adalah tidak tepat dengan maksudnya.

Umat Islam tidak boleh memaksa kefahaman mereka yang salah ini untuk mengikut ajaran dan takrifan bahasa umat Islam, walaupun mereka percaya kepada Tuhan Yang Maha Berkuasa, tetapi mereka melantik tuhan-tuhan yang lain daripadanya dengan berbagai-bagai cara. Kalangan penganut Kristian dengan kepercayaan Trinity dengan mengadakan isteri dan anak bagi Tuhan Yang Maha Esa dan Yang Maha Suci itu. Agama yang lain menambah perlantikan Tuhan mengikut kefahaman mereka masing-masing.

Mengikut ajaran Islam, perkataan Allah ialah salah satu daripada nama-nama yang banyak bagi Tuhan Yang Maha Esa (Al-Asma Al-Husna).

Imam Al-Baihaqi menulis dalam kitabnya (Al-Asma wa Sifat).

“Perkataan Allah itu ialah Tuhan Yang Maha Esa, tidak berbilang lebih dari satu dan tidak ada sekutu bagiNya (sama ada dinamakan bapa, anak dan apa sahaja). Allah mengikut bahasa Arab yang fasih dan nyata bermaksud, Dia Sahaja Tuhan, Yang Maha Esa, tidak ada lagi tuhan yang lain daripadaNya. Perkataan Allah itu daripada perkataan aL-Ilah dengan menambah al kepada perkataan asal Ilah yang bermakna Tuhan secara umum. Apabila diletakkan alif dan lam (al) menjadi yang khusus satunya yang dikenali dan diyakini benarnya, kemudian dimudahkan sebutannya dengan membuang beberapa huruf, maka disebut Allah. Penambahan al dalam bahasa Arab bertujuan makrifah (yang dikenali) secara khusus yang tidak boleh dikelirukan dengan kepercayaan salah, iaitu "berbilang tuhan”.

Al-Quran mengajar cara penjelasan makna yang sebenar, begitu juga hadith-hadith Rasulullah SAW. Penjelasan inilah yang dinamakan sebagai ‘menyampaikan dakwah’, sebagaimana yang diamalkan oleh Rasulullah SAW. Tanpa melarang mereka dari menyebut perkataan Allah, tetapi kita memberi penjelasan berdasarkan ilmu, bahawa penggunaan perkataan Allah oleh mereka yang percaya adanya sifat ketuhanan dan nama ketuhanan yang lain daripada Allah adalah tidak tepat.

Apabila Rasulullah SAW menghantar surat kepada raja-raja yang menganut agama kitab, dan disebut dalam surat perutusan itu firman Allah yang menjelaskan kepercayaan yang sebenar kepada Allah yang bermaksud:

Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai ahli kitab, marilah kepada satu kalimah yang bersamaan antara kami dengan kamu, iaitu kita semua tidak menyembah melainkan Allah, dan kita tidak sekutukan denganNya sesuatu jua pun; dan jangan pula sebahagian dari kita mengambil akan sebahagian yang lain untuk dijadikan orang-orang yang dipuja dan didewa-dewakan selain daripada Allah". Kemudian jika mereka (ahli kitab itu) berpaling (enggan menerimanya) maka katakanlah kepada mereka: "Saksikanlah kamu bahawa sesungguhnya kami adalah orang-orang Islam". (Surah Ali Imran: 64)

Perutusan Rasulullah SAW mendedahkah bagaimana golongan ahli kitab (Kristian dan Yahudi) memakai perkataan yang sama apabila menyebut perkataan Allah, seterusnya dijelaskan dengan makna aqidah yang tepat secara ajaran tauhid, iaitu mengesakan Allah tanpa syirik, sama ada syirik itu melakukan upacara ibadat dengan menyembah tuhan-tuhan yang lain daripada Allah, atau mematuhi hukum-hukum dan undang-undang ciptaan para ahli agama (pendita) dan pemimpin-pemimpin (arbab) yang mencipta undang-undang dan hukum yang menentang hukum Allah. Mereka telah menghalalkan apa yang diharamkan oleh Allah dalam kitab yang diturunkan kepada rasul mereka sendiri, atau mengharamkan apa yang dihalalkan, atau memberi hak ketuhanan kepada ahli agama sehingga boleh mengampunkan dosa yang menjadi hak Allah sahaja.

Kesimpulannya, kita tidak boleh melarang mereka menggunakan perkataan Allah di kalangan mereka sendiri, dalam ibadat mereka dan amalan mereka, walau pun salah maksud dan maknanya yang asal mengikut bahasa kita. Adapun menggunakan perkataan Allah oleh mereka terhadap masyarakat Islam untuk menyebarkan agama mereka dengan fahaman mereka, atau menjadikan perkataan Allah sekadar mengubah jenama bagi melariskan barangan dalam masyarakat Islam, tidak boleh dizinkan sama sekali. Ini adalah kerana menyalahgunakan perkataan Allah yang Maha Suci kepada umat Islam dan bercanggah dengan makna mengikut bahasa yang diamal oleh umat Islam, adalah dikira menodai kesucian dan kemurnian kalimah Allah di hadapan umat Islam.

Imam Ali K.W, menegaskan kepada mereka yang menyalahgunakan perkataan yang benar dengan tujuan yang salah, dengan apa nama sekalipun:

(Kalimahnya benar tetapi dimaksudkan dengan tujuan yang salah).

Kalimah Allah adalah paling benar, tetapi kalau menulis atau menyebut perkataan Allah laksana memakai jenama barangan untuk melariskan jualan di tengah masyarakat umat Islam, maka ianya sangat menyentuh sensitiviti umat Islam. Keadaan ini akan menyebabkan semua kalangan umat Islam yang berbeza pertubuhan (NGO), fahaman politik dan individu, bersatu untuk mengeluarkan suara hati mereka yang sangat memuliakan kalimah Allah. Suasana sebegini boleh menimbulkan ketegangan dalam masyarakat majmuk yang ada dalam negara kita.

Al-Quran juga memerintah penganutnya supaya tidak menghina dan mencaci penganut agama lain sehingga menyebabkan mereka mencaci Allah.

Firman Allah yang bermaksud:

Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan. Demikianlah Kami memperelokkan pada pandangan tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka, lalu ia menerangkan kepada mereka apa yang mereka telah lakukan. (Surah al-An'am: 108)

Demikianlah keterbukaan Islam terhadap kebebasan beragama dengan batas sempadan yang tidak menegangkan hubungan dalam masyarakat berbagai agama.

Wallahua’alam.

7 Januari 2010

BELAJAR DARIPADA KETEGASAN ABU BAKAR




Hari itu hari Isnin. Matahari sudah meninggi. Tetapi bagi penduduk Madinah, ruang angkasa bandar Nabi itu bagaikan gelap gelita. Berita kewafatan Rasulullah sudah mula tersebar luas.

Abu Bakar yang baru mendapat berita sedih itu bergegas memecut kudanya menuju ke rumah Rasulullah. Setibanya di sana, tanpa berbicara sepatah perkataan pun dengan sahabat-sahabat yang ada di situ, beliau terus masuk menemui Aisyah dan meluru kepada Rasulullah yang ketika itu ditutupi dengan sehelai kain buatan Yaman. Wajah Rasulullah dipeluk dan dicium Abu Bakar, kemudian dia menangis dan berkata, “Demi bapa dan ibuku, Allah tidak mengumpulkan dua kematian untukmu. Kematian yang telah ditetapkan ke atas engkau telah pun engkau hadapinya.”

Abu Bakar kemudian menemui para sahabat yang lain. Saat itu, Umar bin al Khattab masih lagi melontarkan kata-kata ancaman kepada orang yang mengatakan Rasulullah sudah tiada. Umar disuruhnya duduk, tetapi dia tetap enggan. Lantas Abu Bakar pun berpaling kepada orang ramai dan meninggalkan Umar seraya berkata, “Barang siapa di kalangan kamu yang menyembah Muhammad, maka sesungguhnya Muhammad telah mati. Tetapi barang siapa di kalangan kamu yang menyembah Allah, maka sesungguhnya Allah maha hidup dan tidak mati.”

Abu Bakar meneruskan ucapan dengan membaca ayat 144 Surah Ali Imran yang bermaksud, “Dan Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang Rasul yang sudah pun didahului oleh beberapa orang Rasul (yang telah mati mahupun terbunuh). Apakah jika dia mati atau terbunuh (patutkah) kamu berpaling tadah (menjadi kafir) ? Dan (ingatlah) barang siapa yang berpaling tadah (menjadi kafir) maka ia tidak akan mendatangkan mudharat sedikitpun kepada Allah, dan (sebaliknya) Allah akan memberi balasan pahala kepada orang-orang yang bersyukur.”

Sesudah mendengar ayat yang dibacakan oleh Abu Bakar, Umar berkata, “Demi Allah, sebaik sahaja aku mendengar Abu Bakar membacakan ayat itu, aku menjadi lemah longlai sehingga aku sudah tidak berdaya untuk berdiri. Akhirnya aku rebah ke bumi tatkala Abu Bakar membacanya. Yakinlah aku bahawa Nabi sudah wafat.”

Inilah sebahagian gambaran ketegasan Abu Bakar, sahabat Rasulullah yang utama dan yang pertama daripada sepuluh sahabatnya yang dijanjikan syurga. Abu Bakar bukanlah selalu ditonjolkan dengan sifat tegas berbanding Umar. Beliau selalu mengambil pendirian berlembut dan bertasamuh (toleransi) dalam banyak hal. Ketika Umar mencadangkan tawanan-tawanan perang Badar dibunuh saja, Abu Bakar lebih selesa mencadangkan agar mereka diberi kemaafaan dengan digantikan dengan wang tebusan. Tetapi dalam situasi getir selepas kewafatan Rasulullah, ternyata Abu Bakar lebih tertonjol sifat tegasnya berbanding yang lain.

Bukan sahaja terpaksa berhadapan dengan karenah sebilangan sahabat yang bagaikan tak dapat menerima kewafatan Rasulullah, bahkan terpaksa pula berhadapan dengan kemunculan nabi-nabi palsu dan golongan yang enggan mengeluarkan zakat apabila berita kewafatan Nabi tersebar luas. Walaupun tindak balas Abu Bakar dalam menangani isu-isu tersebut pada permulaan mendapat penentangan daripada beberapa orang sahabat, Abu Bakar tetap tegas menyatakan dan mempertahankan hujahnya. Beliau cukup sensitif dan terkesan apabila aqidah, dasar dan prinsip perjuangan mula dipermain-mainkan musuh.

Bagi kita semua, sikap tegas ini sewajarnya menjadi pelajaran yang sangat berharga. Dalam perjuangan kita mempunyai dua asas utama. Pertama aqidah, dasar dan prinsip perjuangan. Kedua ialah strategi dan perlaksanaan perjuangan. Asas pertama bersifat tetap dan kedua bersifat murunah ataupun anjal. Dalam erti kata lain, asas pertama tidak boleh diubah-ubah bahkan wajib dipertahankan, sebaliknya asas yang kedua boleh menerima perubahan-perubahan semasa selama mana tidak bercanggah syariat. Dalam melaksanakan dan mempertahankan kedua-dua asas ini, sikap tegas amatlah diperlukan.

Tegas bukanlah bermakna menutup semua pintu mesyuarat dan rundingan, bukan juga bermakna mengambil keputusan secara membuta tuli ataupun mengendalikan sesuatu urusan secara autokrasi atau kuku besi. Abu Bakar mendengar pandangan para sahabat terlebih dahulu dalam usaha menangani krisis selepas kewafatan Nabi. Tetapi Abu Bakar mempunyai hujah dan alasan yang kuat mengapa para sahabat lain perlu menerima pandangannya. Inilah gambaran sikap tegas Abu Bakar.

Dalam perjuangan kita hari ini sikap tegas amat-amatlah diperlukan. Samada kalangan yang memimpin atau dipimpin perlu mempunyai sikap ini. “Tsunami Politik” yang berlaku dalam pilihanraya baru-baru ini bakal mengubah lanskap politik di tanahair. Kebanjiran ahli-ahli baru sehingga borang keahlian ibarat goreng pisang panas jangan sampai terlalu mempersonakan kita. Kemenangan di beberapa tempat jangan sampai melekakan kita dan kagum dengan kekuatan sendiri. Sudah tentu peristiwa Pembukaan Makkah pada tahun lapan hijrah yang memperlihatkan orang ramai berbondong-bondong memeluk Islam, dan peperangan Hunain yang berlaku selepas itu yang memperlihatkan pula bala tentera Islam hampir-hampir dibantai oleh musuh lantaran terpesona dan kagum dengan jumlah yang ramai dan kekuatan yang ada perlu menjadi pengajaran berharga bagi kita.

Begitu juga jangan hanya kerana mahu meramaikan ahli dan kawan, kita sudah mula malu dan segan untuk bercakap tentang Islam yang menjadi aqidah, dasar dan prinsip perjuangan parti. Jangan sampai kerana ingin kekal lama dalam “zon selesa” kita sudah tidak bertegas tentang asas utama perjuangan ini.

Mungkin boleh dirujuk sebagai suatu contoh, kenyataan Tuan Guru Al Mursyidul Am apabila diminta memberi komen tentang kabinet baru Memanda Perdana Menteri, beliau dengan ringkas dan tegas menyatakan golongan sekularisme ini akan berakhir dan sampai ajalnya. Sudah tentu kenyataan ini menggambarkan sikap tegas seorang pimpinan yang berprinsip dan mempertahankan asas utama perjuangannya, walaupun dalam masa yang sama ia mempunyai rakan politik yang berideologi sedemikian juga.

Abu Bakar disegani dan dihormati kerana sikap tegasnya telah menyelamatkan Islam daripada ancaman-ancaman musuh. Sikap tegas Abu Bakar bukannya hasil warisan keturunan atau seni mempertahankan diri yang dipelajarinya, tetapi ia adalah hasil daripada kesempurnaan, keteguhan dan kemuncak iman. Tidak hairanlah Nabi pernah bersabda, “Jika ditimbang iman Abu Bakar dengan iman sekalian umat, nescaya akan lebih berat iman Abu Bakar.” Usahakanlah untuk sempurnakan iman kita, dan belajarlah daripada Abu Bakar tentang sikap tegasnya supaya perjuangan kita dihormati kawan dan lawan.

SUFYAN ISMAIL
JUMAAT 13 Rabiulawwal 1429