Sunday, February 13, 2011

CUKUPLAH ALLAH SEBAGAI PELINDUNG



Sebahagian daripada tanda dan sifat mulia seorang mukmin ialah menyerahkan semua urusan kepada Allah, bertawakkal kepada-Nya, percaya kepada janji-janjiNya, redha dengan apa yang dilakukanNya, berbaik sangka padaNya, dan menunggu dengan sabar perlindungan dan pertolongan daripadaNya. Saat seorang mukmin itu tenang dan redha atas apa yang menimpa dirinya, maka dia akan menggantungkan segala permasalahannya hanya pada TuhanNya, maka pasti akan ada pengawasan, perlindungan, kekuatan serta pertolongan daripada Allah swt.

Ketika Nabi Ibrahim dicampakkan ke dalam api yang menjulang, dia mengucapkan "hasbunallah wa ni'mal wakil" (cukuplah Allah menjadi penolong kami dan sebaik-baik pelindung), maka Allah menjadikan api yang sifatnya membakar itu tiba-tiba dingin dan sejuk, lantas tiada sehelai pun bulu di jasad utusanNya yang mulia itu terbakar.

Demikian halnya juga apa yang berlaku kepada Rasulullah saw dan para sahabatnya, tatkala menghadapi ancaman daripada musuh-musuh Allah di medan perang, syiar inilah yang mereka laungkan "hasbunallah wa ni'mal wakil"...

Sehebat mana pun seorang manusia, di mana posisi pun dia berada, samada dia sang raja yang hebat kekuasaannya, mahu pun ulama yang unggul keilmuannya dan ramai anak muridnya, selagi mana ia masih bergelar seorang manusia, pasti dia tidak mampu melawan setiap kali hadirnya bencana, dugaan dan fitnah, serta mencegah malapetaka dengan hanya bermodalkan kekuatannya sendiri.

Semua bencana, dugaan, fitnah dan sebagainya itu hanya mampu dihadapi sekiranya kita bertawakkal kepada-Nya, percaya sepenuhnya kepada perlindungan-Nya, dan menyerahkan segala perkara kepada-Nya. Dari situ maka akan terhasillah kekuatan dan pertolongan Allah.

"...dan hanya pada Allahlah hendaknya kamu bertawakkal, jika kamu benar-benar beriman." [al Maaidah : 23]

Di antara keadilan Allah swt, DIA akan menimpakan ujian dan dugaan pada hamba-hambaNya mengikut kadar yang berbeza-beza berdasarkan kedudukan dan siapa hambaNya itu. Seorang nabi dan rasul menghadapi ujian dan dugaan yang maha hebat sesuai dengan kedudukan mereka, manakala seorang ulama dan seorang umara' menghadapi perkara yang sama sesuai dengan kedudukan dan diri mereka, begitulah seterusnya bagi setiap hamba Allah.

Sebagai misal, Khalifah Uthman bin Affan ra. yang memimpin umat Islam selama 12 tahun setelah al Faruq Umar bin al Khattab ra, telah dikritik hebat berkenaan gaya pentadbirannya. Sejarah mencatatkan sebilangan daripada orang-orang Mesir, Basrah dan Kufah telah mengepung rumah Khalifah Uthman selama 40 hari, menuntut perletakkan jawatannya, atau pun syarat dan kehendak kumpulan pemberontak ini dipenuhi.

Kumpulan pemberontak ini ke Madinah dan berhadapan dengan beberapa sahabat besar, seperti Saidina Ali bin Abi Talib, Talhah bin Ubaidillah, Ummul Mukminin Aishah binti Abi Bakar dan ramai lagi, menyatakan sebab tindakan yang diambil mereka itu. Saidina Ali menjadi orang tengah dan cuba berunding dengan kumpulan pemberontak tersebut dan memujuk Khalifah Uthman agar menimbangkan beberapa tuntutan kumpulan itu.

Akhirnya Pemilik Dua Cahayamata Rasulullah ini menjadi korban di tangan kumpulan pemberontak di awal Subuh pagi Jumaat, 8 Zulhijjah 35H dalam keadaan baginda memeluk mushaf al Qur'an. Al Thabari memberi komentar panjang lebar kisah ini, dan menjawab segala kritikan dan ketidakpuasan hati kumpulan pemberontak terhadap khalifah yang mulia ini.

Demikianlah sebahagian catatan kisah sedih dan pilu, serta fitnah dan dugaan hebat yang menimpa sahabat, menantu Rasulullah saw, dan juga seorang pemimpin ummat untuk diambil iktibar dan pengajaran.

Saya cuba memujuk hati kecil ini dengan kisah-kisah sahabat Nabi, antaranya kisah Saidina Uthman ini, saat berhadapan dengan ombak dan gelombang dalam urusan kepimpinan.

Apalah sangat nak dihairankan apabila dikritik, sedangkan menantu Rasulullah itu pun
telah dikritik lebih hebat daripada yang dihadapi sekarang. Apalah sangat fitnah yang menimpa kini, padahal itulah jalan dan resmi perjuangan yang mesti ditempuhi.

Bezanya, kumpulan pemberontak di zaman Khalifah Uthman mengkritik secara berhadapan dan tanpa sembunyi-sembunyi menyatakan penentangan mereka, sebaliknya "pemberontak" zaman kini hanya berani menyebarkan fitnah melalui "sms-sms liar", yang menyembunyikan diri dalam selimut-selimut dayus dan berniat jahat kepada perjuangan Islam. Bahasa orang muda sekarang "tak gentlemen".

Seorang yang beriman tidak perlu dibangga-banggakan saat dia memegang jawatan dan mempunyai kuasa, dan tidak juga perlu ditakut-takutkan sekiranya kehilangan jawatan mahupun terlucut kuasanya. Seandainya seluruh makhluk bersepakat untuk mendatangkan manfaat kepadanya, atau sebaliknya mendatang mudharat kepadanya, segala-galanya tidak akan berlaku melainkan ia sudah ditulis oleh Allah swt.

Seorang yang beriman yang akur akan kelemahan dirinya, bertawakkal kepada Allah, Tuhan yang memiliki kekuatan yang maha hebat, saat hartanya kurang, hutangnya banyak, kehidupannya sempit, dia takut menghadapi musuhnya, hatinya cemas dek perlakuan zalim dan fitnah yang dihadapkan padanya, maka ucapkanlah,,,

"hasbunallah wa ni'mal wakil"

"hasbunallah wa ni'mal wakil"

"hasbunallah wa ni'mal wakil"


Muhammad Sufyan b. Ismail
Sabak Bernam, 13 Feb 2011