Thursday, September 26, 2013

HARAKAH ISLAMIYAH DAN AS-SOFWAH AL-MUKHTARAH

oleh : As-Syaikhul Murabbi Ustaz Yahya Othman rahimahullah
Muqaddimah:
Maksud "harakah Islamiyah" ialah gerakan jamaah Islam yang menjadikan Ad-Deen Al-Islami sebagai pegangannya bersumberkan kepada Al-Qur'an dan Al-Hadis di dalam aqidahnya dan kaedah (cara) perjuangannya. Mana-mana perjuangan baik Islam mahupun tidak Islam mestilah dikendalikan oleh orang-orang yang tertentu yang mempunyai sifat-sifat dan kebolehan yang tertentu, yakni luarbiasa.
Harakah Islamiyah hari ini dan di sepanjang zaman ditentang oleh seteru-seteru yang sangat pintar, tersusun dan mempunyai segala kemudahan untuk terus menang, kerana mereka ada "kuasa" yakni kerajaan dan pemerintahan. Adapun harakah islamiyah, ia adalah "pembangkang" yang tidak mempunyai apa-apa "kekuasaan", yang dipunyai hanyalah "kebenaran" "Al-Haq". Sesungguhnya kebenaran itu adalah kekuatan, kebenaran itu daripada Allah.
Firman Allah; "Kebenaran itu daripada Tuhanmu, maka janganlah kamu terdiri daripada golongan yang ragu." [maksud ayat 147, surah Al-Baqarah]
Bermula daripada hakikat inilah, maka harakah islamiyah mestilah memikirkan dan mencari jalan untuk mengambil kembali "kuasa" yang dirampas daripada tangan orang-orang Islam oleh penjajah kuffar, kemudian diganti oleh anak murid penjajah yang telah menyambung pemerintahan negara berdasarkan sistem sekular yang di bawa oleh penjajah itu.
Harakah islamiyah mestilah beriman dengan yakin bahawa merampas kembali "kuasa" daripada tangan musuh adalah wajib atau fardhu, dan fardhu itu terbahagi dua iaitu fardhu 'ain dan fardhu kifayah, dan dalam keadaan tertentu fardhu kifayah menjadi fardhu 'ain.
Di zaman sekarang, di saat pemerintah dengan terang dan nyata, dengan perkataan dan perbuatan, mengiklankan bahawa negara ini negara sekular dan mereka tidak berniat untuk menjadikan Al-Qur'an dan Al-Hadis sebagai undang-undang negara, tidak syak lagi dalam keadaan seperti ini bahawa berjuang (berjihad) menentang "jahiliah" ini adalah fardhu 'ain khususnya kepada ulama'.
Di dalam keadaan seperti ini, wajiblah ke atas harakah islamiyah memikirkan dan mencari jalan dan mengadakan "khittah" atau perancangan yang rapi untuk mendapat kemenangan supaya hukum-hukum Allah (syariat) dapat dilaksanakan di bumi ini.
Firman Allah; "Dan hendaklah kamu hukum di antara mereka dengan apa-apa yang diturunkan oleh Allah dan janganlah kamu turut hawa nafsu mereka.." [maksud ayat 49, surah Al-Maaidah]
Dan di antara "khittah" itu, harakah islamiyah hendaklah mewujudkan "As-Sofwah Al-Mukhtarah", pasukan terpilih sebagai satu ikhtiar. Saranan supaya diusahakan "As-Sofwah Al-Mukhtarah" ini berpandukan kepada beberapa hakikat yang jelas daripada Al-Qur'an dan Al-Hadis dan sejarah yang terang, di antaranya ialah;
1- Manusia makhluk Allah yang mulia itu tidaklah sama di antara satu sama lain, ada di antara mereka yang kuat dan ada pula yang lemah, ada yang pintar dan ada yang bodoh, ada yang berani dan ada yang tidak berani menurut kurniaan Allah kepada masing-masing.
Firman Allah; "Dan kami tinggikan setengah mereka ke atas setengah yang lain.." [maksud ayat 32, surah Az-Zukhruf]
2- Tidak sama tanggungjawab orang yang alim dengan orang yang tidak alim.
Firman Allah; "Apakah sama mereka yang berilmu dengan mereka yang tidak berilmu." [maksud ayat 9, surah Az-Zumar]
Firman Allah; "Allah meninggikan (mengangkat) mereka yang beriman di kalangan kamu dan mereka yang dikurniakan ilmu beberapa darjat (kedudukan)." [maksud ayat 11, surah Al-Mujadalah]
Firman Allah; "Allah telah mengutamakan orang-orang mujahidin ke atas orang-orang yang duduk (yakni tidak pergi berjihad) pada darjat kedudukan (kemuliaan)." [maksud ayat 95, surah An-Nisa']
Pada kurniaan kaya dan miskin pula Allah berfirman; "(kekayaan) itu adalah pemberian Allah dikurniakan kepada sesiapa yang dikehendaki." [maksud ayat 4, surah Al-Jumu'ah]
3- Adalah daripada perkara yang dimaklumi bahawa Allah swt telah memilih daripada hamba-hambaNya untuk memikul tanggungjawab menyampaikan Islam kepada manusia dan kaum-kaum yang tertentu di sepanjang zaman.
Firman Allah; "Bahawasanya Allah telah pilih Adam, Nuh, keluarga Ibrahim dan keluarga 'Imran ke atas sekalian alam." [maksud ayat 33, surah Ali 'Imran].
Dan firman-Nya; "Dan sesungguhnya kami telah utuskan Nuh kepada kaumnya.." [maksud ayat 25, surah Hud].
Sabda Rasulullah saw yang bermaksud; "Bahawasanya Allah ciptakan makhlukNya, maka Dia jadikan aku sebaik-baik makhlukNya, dan menciptakan suku-suku maka Dia jadikan aku pada sebaik-baik suku, dan Dia menciptakan rumah-rumah (keluarga), maka Dia jadikan aku pada sebaik-baik rumah. Maka aku sebaik-baik rumah dari kalangan kamu dan sebaik-baik diri daripada kamu.." [maksud hadis riwayat Ahmad].
Apabila jelas kepada kita bahawa menjadi taqdir Ilahi manusia itu tudak serupa dan tidak sama kebolehan mereka, sifat-sifat, pengetahuan dan sebagainya dan Allah swt pilih petugas-petugas (yakni para Nabi dan Rasul) kerana tugas yang berat tidak dapat dipikul oleh semua orang.
Tugas memimpin masyarakat adalah tugas para Nabi dan Rasul.
"Kami akan letakkan ke atas kamu tugas yang berat.." [maksud ayat 5, surah Al-Muzzammil]
[bersambung..]

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.