Friday, September 27, 2013

USTAZ AZIZAN ABDUL RAZAK 1940-2013

oleh: MSI
Hampir pukul 12 tengahari bertalu-talu sms "menerpa" masuk dalam telefon bimbit membawa mesej "ust azizan razak sudah kembali ke rahmatullah jam 11.10 pg di HSB". Buat seketika saya tersentak membaca sms tersebut. Perasaan ketika itu bercampur baur. Sedih sebab PAS kehilangan seorang pemimpin hebat, redha dan gembira sebab Allah telah memendekkan tempoh "derita" Ustaz Azizan.
Ustaz Azizan Razak, nama besar ini telah menempuh pelbagai pengalaman sepanjang beliau bersama dengan PAS. Saya hanya sempat mengenali beliau sekitar awal tahun 2000 ketika mengajar di sebuah sekolah agama rakyat di Kedah. Ustaz Azizan akan datang menjemput anak perempuannya setiap dua minggu. Peluang itu, saya ambil untuk menegur sapa dan berbual ringkas dengan beliau. Layanan dan selorohnya macam orang kampung, walaupun saat itu dia adalah antara nama besar dalam parti. Beliau tak kekok untuk duduk di kerusi batu "uzur" di tepi pagar sekolah, sambil bersembang-sembang pelbagai tajuk dengan orang-orang kampung.
Ustaz Azizan hidup dalam persekitaran yang penuh sederhana. Rumahnya yang "bersekutu" dengan markas PAS terus kekal walaupun saat dia menjadi orang nombor satu dalam pentadbiran negeri Kedah. Saya pernah ke rumah beliau beberapa kali semasa hadir program yang diadakan di situ. Kadangkala tak dapat nak beza mana satu pintu rumah beliau dan pintu markas. Memang cukup sederhana, buat seorang yang digelar "MB". Saya pernah diberitahu rakan di Kedah, Ustaz Azizan menolak pada awalnya untuk dibina pondok pengawal di hadapan rumahnya saat beliau menjadi Menteri Besar. Tindakan itu lebih kepada menjaga keselamatan beliau. Mungkin bagi beliau, tindakan itu hanya akan menjadi "jurang pemisah" antara beliau dengan rakyat. Setelah didesak, beliau terpaksa akur atas faktor keselamatan.
Pernah dalam tahun 2004 semasa saya dalam satu penerbangan dari Alor Setar ke Kuala Lumpur, Ustaz Azizan duduk selang satu kerusi dengan saya. Beliau menyapa; "nak pi mana?". Saya jawab; "nak pi umrah, singgah di KL sat". Dia tersenyum dan perbualan kami terhenti setakat itu sahaja. Ustaz Azizan kemudiannya bangun dari kerusi dan mengambil begnya. Saya lihat dia membawa keluar sebuah mushaf Al-Qur'an dan membacanya dalam penerbangan itu. Dalam hati kecil saya berkata; "inilah sebahagian sifat pemimpin gerakan Islam". Sudah sewajar buat seorang pemimpin gerakan Islam, kitab suci Allah ini menjadi wiridnya setiap masa. Ramai juga yang kita lihat hari ini, diri yang berceramah berdegar-degar mendakwa pejuang Islam tapi Al-Qur'an amat jauh daripadanya, baik bacaan apatah lagi amalan.
Hubungan antara Ustaz Azizan dan Almarhum Ustaz Fadhil Nor bagi saya cukup hebat dan istimewa. Saya masih teringat semasa satu majlis pembukaan konvokesyen Kolej Islam Darul Ulum diadakan di SRIDU, Ustaz Azizan dalam ucapannya beberapa terpaksa berhenti kerana beliau sayu dan sebak mengingati Almarhum Ustaz Fadhil yang tak berkesempatan melihat majlis yang penuh bersejarah itu. Dan dalam beberapa program lain yang sempat saya hadiri, Ustaz Azizan masih sebak buat beberapa ketika apabila menyebut nama Almarhum Ustaz Fadhil.
Hubungan beliau dengan Almarhum bukan sekadar hubungan seorang ketua dengan ahli, malah lebih dari itu lagi. Atas hubungan yang kuat inilah, secara peribadi saya rasakan bahawa Ustaz Azizan benar-benar "terpukul" dengan pemergiaan Almarhum Ustaz Fadhil. Beliau terpaksa mengambilalih tanggungjawab kepimpinan di Kedah khasnya, yang pasti akan dibanding-bandingkan karisma kepimpinan beliau dengan Almarhum Ustaz Fadhil. Dalam penuh amanah, beliau telah membuktikan kemampuannya memandu PAS Kedah dan membawa kemenangan pada tahun 2008 dengan izin Allah s.w.t.
Ustaz Azizan memang terkenal dengan sifat "cengei", dalam loghat utara yang mungkin boleh disama-ertikan dengan garang. Sampai ada yang buat sifir mudah, kalau tak "cengei" bukan namanya Ustaz Azizan lah tu. Sifat "cengei"nya itu kadangkala menyebabkan ramai orang yang "makan hati" dengan beliau. Tapi bila Ustaz Azizan dah sakit terlantar, ada pula yang mengeluh dan berkata; "mana kita nak cari orang yang cengei macam Ustaz Azizan?". Pulak dah.
Masing-masing pemimpin mempunyai gaya kepemimpinannya yang tersendiri. Realiti itu sudah berlaku sejak dahulu lagi. Malah kalau mahu dikatakan sejak zaman pentadbiran Khulafa' Rasyidin lagi. Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali masing-masing mempunyai karekter yang tersendiri.
Semalam saya dan beberapa orang sahabat bergegas ke Pokok Sena, Kedah selepas mendapat berita sedih pemergian Ustaz Azizan. Malangnya atas beberapa kesulitan, kami hanya tiba di perkarangan Muassasah Darul Ulum yang menjadi tempat persemadian sementara Ustaz Azizan kira-kira jam 9:25 malam. Saat itu, hanya ada beberapa orang sahaja pengunjung yang mungkin datang dari jauh masih berada di situ sambil menitipkan doa buat Ustaz Azizan.
Jenazah Ustaz Azizan disemadikan berhampiran pemimpin, guru dan sahabatnya, Almarhum Ustaz Fadhil Nor. Suasana itu mengingatkan saya, suasana kubur Abu Bakar dan Umar yang berhampiran dengan Nabi s.a.w. Penuh pengertian dan cukup istimewa, ukhuwwah dalam perjuangan yang dibawa bersama sampai ke akhir hayat.
Ustaz Azizan telah melaksanakan tugasnya. Walaupun semasa hayatnya, beliau tak terlepas berhadapan dengan pelbagai kritikan kawan dan lawan, lebih-lebih lagi saat beliau menjadi "bos" mentadbir negeri Jelapang Padi ini. Mungkin dek beberapa "ijtihad-ijtihad" peribadinya, pandangan dan pendirian Ustaz Azizan kerap kali sukar difahami dan diterima, dan kadangkala disalah ertikan oleh orang lain. Semua itu sudah tentu menjadi "bahan dan peluang" buat mereka yang sentiasa tidak bersetuju dengan beliau. Dan sudah pasti itu semua adalah ujian bagi beliau sebagai seorang pemimpin. Ujian yang sudah pasti untuk kaffarah dan menaikkan darjatnya di sisi Allah s.w.t.
Buat mereka yang sentiasa "tak bersetuju" dengan Ustaz Azizan, inilah saatnya untuk membuat perkara yang lebih baik sekiranya dulu dianggap tidak baik, membuat pembetulan sekiranya dulu dianggap ada kesilapan, membuat peringatan sekiranya dulu ada kealpaan. Bagi nama besar seumpama Ustaz Azizan, sudah tentu beliau mahu orang lain buat yang lebih sempurna dan baik daripada beliau dalam melaksanakan amanah perjuangan. Teruskan kerja-kerja yang baik beliau, tanpa kita mengungkit-ungkit keaiban orang yang telah mendahului kita.
Bagi kita semua, ucapan dan doa yang terbaik buat beliau dan sesiapa pun yang telah mendahului kita dalam perjuangan ini ialah ucapan yang dinyatakan di dalam Al-Qur'an, "Dan orang-orang yang datang sesudah daripada mereka (Muhajirin dan Ansar), mereka berkata: Wahai Tuhan kami, ampunilah kami dan (dosa-dosa) saudara-saudara kami yang telah dahulu beriman daripada kami, dan janganlah Engkau jadikan di dalam hati kami perasaan dengki kepada orang-orang yang beriman, wahai Tuhan kami, sesungguhnya Engkaulah Tuhan Yang Maha Penyantun dan Maha Penyayang [maksud ayat 10, surah Al-Hasyr]
Semoga Allah s.w.t merahmati dan mengampuni Ustaz Azizan Abdul Razak yang kita kasihi.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.