Wednesday, September 25, 2013

Ringkasan Ucapan Mesyuarat Agung PAS Puchong ke-10

1- Firman Allah swt; " Dan ingatlah ketika kamu sedikit bilangannya serta tertindas di bumi, kamu takut orang-orang menangkap dan melarikan kamu, maka Allah memberi kamu tempat bermustautin dan diperkuatkan-Nya kamu dengan pertolongan-Nya, serta dikurniakan-Nya kamu dari rezeki yang baik-baik, supaya kamu bersyukur. Wahai orang-orang Yang beriman! janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan Rasul-Nya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya). Dan ketahuilah bahawa harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian, dan sesungguhnya di sisi Allah jualah pahala yang besar." [maksud surah Al-Anfaal ayat 26-28]
2- Perjuangan Islam dalam wadah PAS di Puchong sejak lebih 10 tahun lalu sebahagian daripada mata rantai perjuangan Islam. Meyakini perjuangan kita adalah kesinambungan perjuangan para anbia' yang lalu, dan Rasulullah saw.
3- PAS Puchong telah mendapat tempat di hati masyarakat, khasnya di DUN Seri Serdang hasil daripada progran-program yang telah dilaksanakan oleh Pusat Khidmat Masyarakat yang diterajui bekas Penyelaras DUN N29, Saudara Rosharizan (Yop). Mesyuarat mengambil kesempatan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada beliau.
4- PAS Puchong telah diberi kepercayaan oleh khalayak teramai pengundi di DUN Seri Serdang dalam Pru13 yang lalu dengan majoriti paling banyak di antara dun-dun yang ditandingi PAS di seluruh Selangor, majoriti menang sebanyak 16251 undi berbanding kekalahan pada Pru12 dengan majoriti 45 undi.
5- Mesyuarat merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh jentera parti, dan para penyumbang yang telah memberi segala pertolongan, kerjasama dan sokongan Pru13 yang lalu.
6- Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat adalah sayap kiri dan kanan parti. Kedua-dua dewan bukan sahaja perlu menggiatkan gerakan menambah ahli, tapi dalam masa yang sama perhatian kepada tarbiyah dan program pembinaan ahli perlu menjadi keutamaan.
7- PAS Puchong mengalu-alukan penubuhan Dewan Himpunan Penyokong PAS, Puchong yang diketuai Saudara S.Kalimuthu. DHPP diharap memainkan peranan yang sama dalam mengukuhkan agenda parti "PAS FOR ALL".
8- Tahun ini adalah tahun pemilihan parti. Semua yang bertanding mestilah dengan niat yang ikhlas dan mahu berlumba-lumba melaksanakan kebajikan dan kebaikan.
9- Abaikan fitnah dan adu domba yang ditaburkan dalam media-media sosial seperti dalam blog, fb dan sebagainya.
10- Jangan membalas fitnah, ambil pengajaran daripada kisah Habil dan Qabil. Saat Qabil mahu membunuh saudaranya, Habil berkata; " Sungguh jika engkau (Qabil) menggerakkan tanganmu kepadaku untuk membunuhku, nescaya aku tidak akan menggerakkan tanganku kepadamu untuk membunuhmu (untuk membalas pula). Sesungguhnya aku takut Tuhan semesta alam."
11- Ucapan terbaik saat menerima fitnah dan ujian; "hasbunallah wani'mal wakeel"
YDP PAS PUCHONG