Sunday, April 18, 2010

BELAJAR DARIPADA KESEDERHANAAN UMAR


oleh; Muhammad Sufyan Ismail

Hari itu hari Jumaat. Amirul mukminin Umar bin Abdul Aziz berjalan kaki bersama-sama beberapa orang menuju ke masjid untuk menunaikan solat jumaat. Namun ketika berada di masjid, ada sesuatu yang aneh pada penampilan Khalifah Bani Umayyah ini. Pakaiannya jauh lebih sederhana daripada para jamaah yang lain. Kelihatan tampalan di sana sini. Jauh lebih sederhana daripada rakyat biasa.

Salah seorang jamaah yang duduk tidak jauh daripadanya berbisik. “Wahai Amirul mukminin, sesungguhnya Allah telah mengurniakan kenikmatan kepada kamu. Mengapa kamu tak mahu menggunakannya sekadar berpakaian yang baik-baik?” Umar bin Abdul Aziz tertunduk sejenak seraya berkata, “Sesungguhnya bersederhana yang paling baik ialah di saat ketika kita kaya. Sebaik-baik kemaafan itu di saat ketika kita berada pada kedudukan yang kuat.”

Ucapan Umar bin Abdul Aziz ini bukanlah hanya semata-mata slogan dan manifesto. Dia benar-benar telah mempraktiknya. Beliau berusaha untuk bersederhana walaupun beliau sudah berada pada kedudukan yang boleh menjadikannya kaya raya. Penampilannya selepas menjadi khalifah amatlah berbeza dengan keadaan sebelumnya.

Kesederhanaan Umar bin Abdul Aziz dalam kehidupannya benar-benar mengikut jejak langkah Rasulullah dan para sahabatnya. Kesederhaannya dalam berpakaian contohnya, ketika Maslamah bin Malik menziarahinya saat beliau sedang sakit. Maslamah melihat pakaian Umar yang kotor. Maslamah berkata kepada isteri Umar, Fatimah binti Abdul Malik, “Mengapa engkau tak cuci pakaiannya?” . Fatimah menjawab, “Demi Allah, dia tidak memiliki pakaian yang lain melainkan apa yang dipakainya.”

Kesederhanaan Umar bukan semata-mata dipraktikkan ke atas dirinya. Keluarga dan kaum kerabatnya juga diminta melakukan hal yang sama. Pernah suatu ketika, Umar bin Abdul Aziz memanggil isterinya, Fatimah binti Abdul Malik yang mempunyai banyak perhiasan intan dan mutiara. Kata Umar, “Wahai isteriku, kamu pilihlah, samada kamu kembalikan perhiasan-perhiasan ini kepada Baitul Mal ataupun kamu izinkan aku meninggalkan kamu selama-lamanya. Aku tak suka apabila aku, kamu dan perhiasan ini berada dalam satu rumah.” Fatimah menjawab, “Saya memilih kamu daripada perhiasan-perhiasan ini. Bahkan lebih daripada itupun saya tetap memilih kamu.”

Puteranya, Abdul Aziz bin Umar bin Abdul Aziz ketika ditanya oleh Abu Jaafar al Mansur perihal kekayaan ayahnya. Jaafar bertanya, “Berapa banyakkah kekayaan ayahmu sejak dari mula dia dilantik menjadi khalifah?” Jawab Abdul Aziz, “Empat puluh ribu dinar.” Jaafar bertanya lagi, “Lalu berapa banyak pula kekayaan ayahmu ketika dia meninggal dunia?”

“Empat ratus dinar. Itupun kalau belum berkurang,” jawab Abdul Aziz.

Umar bin Abdul Aziz telah memberikan pengajaran yang amat berharga bagi para pemimpin. Samada pemimpin hari ini dikenali wakil rakyat atau sebagainya, itu hanya berkisar dari segi penggunaan istilah. Hakikatnya mereka yang diangkat oleh rakyat adalah pemimpin. Seringkali seorang pemimpin itu biasa hidup dalam keadaan sederhana sebelum diangkat menjadi pemimpin, tetapi kehidupannya tiba-tiba berubah apabila kuasa dan kekayaan berada di dalam genggamannya.

Kuasa seolah-olah menjadi jentolak bagi mengaut kekayaan sebanyak mungkin. Keringat rakyat bawahan diperah sedapat yang mungkin bagi memastikan tempoh memegang jawatan benar-benar dimanfaatkan. Kehidupan dengan cepat berubah. Masa inilah digunakan sebaik-baiknya bukan hanya mengumpul kekayaan bagi dirinya, malah tidak terkecuali kaum keluarga dan kroni-kroninya. Padahal, sebelum menjadi pemimpin keadaannya tidak banyak berbeza dengan rakyat biasa. Sudah tentu sungguh amat berbeza dengan Umar bin Abdul Aziz.

Mungkin sebahagian akan beralasan, ini adalah haknya yang sahih untuk dimiliki sebagai pemimpin. Apa salahnya bermewah-mewah sedikit bagi menunjukkan kehebatan penampilan seorang pemimpin. Bukankah imej penampilan diri dan kehidupan seorang pemimpin mempunyai daya pengaruh dan tarikan kepadanya.

Perlu difahami, bersederhana bukanlah meninggalkan kemudahan segala-galanya. Bersederhana bukanlah sampai hadir ke parlimen dengan berbasikal, tinggal di pondok yang dibuat daripada buluh atau berkaki ayam kerana melawat kawasan. Tegasnya, rakyat yang telah membuat pilihan mahu melihat sejauh mana pengorbanan pemimpin yang telah dipilih mereka. Apalah ertinya pemimpin yang telah dipilih hanya membawa bendera yang lain tetapi watak dan lakonan yang sama sahaja dengan pemimpin yang sebelumnya.

Umar bin Abdul Aziz adalah permata yang sentiasa bersinar dan cermin yang tak pernah pudar. Sejarahnya diabadikan dengan tinta emas dan menjadi inspirasi bagi orang yang benar-benar mengharapkan kemudahan ketika dihisab oleh Allah s.w.t di hari akhirat kelak. Jawatan, kedudukan, kuasa dan kekayaan yang sudah berada di dalam genggamannya, tidak mudah membuatnya tenggelam punca dan lupa diri. Kesederhaan dalam kehidupan yang menjadi pilihannya setelah diangkat menjadi khalifah, sedikitpun tidak menggusarkan fikirannya kalau-kalau dianggap seiringan dengan penampilan pemimpin-pemimpin negara yang lain. Sebaliknya kesederhaan inilah yang menjadi sebab Umar disegani kawan dan lawan.

Tidak hairanlah, saat ketika berita Umar bin Abdul Aziz meninggal dunia tersebar, Kaisar pemerintah Rom yang paling kuat menentang Islam pada waktu itu berkata, “Aku tidak hairan melihat seorang rahib yang menjauhi dunia dan asyik beribadah. Tetapi, aku benar-benar hairan ketika melihat raja yang memiliki kekayaan yang begitu besar, lalu dibuangnya jauh-jauh, sehingga dia hanya berjalan kaki dan memilih kehidupannya yang selayak bagi seorang fakir muskin.”

Kuasa, kedudukan dan kekayaan pasti akan menjadi hal yang melambatkan urusan hisab pada hari semua manusia akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah s.w.t. Tentunya cara Allah menghakimi dan mengadili berbeza sangat dengan dengan kebiasaan mahkamah dunia yang sering bias dan tergelincir. Pemegang kuasa, kedudukan dan kekayaan sama seperti dengan yang lain, tidak akan terlepas dari saat ini.

Kuasa, kedudukan dan kekayaan adalah sebahagian lambang dunia. Pemimpin yang mengendalikan dunia dan bukan sebaliknya. Ambillah peringatan Rasulullah s.a.w kepada para sahabatnya ketika berpusu-pusu mahu mendapatkan bahagian masing-masing daripada harta yang dibawa Abu Ubaidah ‘Amir bin Jarrah, sekembaliya daripada Bahrain, sabda baginda, “Demi Allah, bukanlah kefakiran yang aku lebih takut menimpa ke atas kamu, akan tetapi aku lebih takut dibentangkan dunia kepada kamu sebagaimana telah dibentangkan kepada orang yang terdahulu daripada kamu. Maka kamu akan berlumba-lumba mendapatkan dunia itu sebagaimana orang-orang terdahulu pernah berlumba-lumba mendapatkannya, maka kamu akan dibinasakan sebagaimana mereka telah dibinasakan.”

Kepada yang diangkat memimpin, bersederhanalah dalam kehidupan kalau mahu menjadi ingatan indah dalam lipatan kenangan rakyat yang dipimpin, atau juga mahu bernafas panjang dalam kepimpinan. Bersederhanalah kerana itulah wibawa Umar bin Abdul Aziz, wibawa seorang pemimpin.