Thursday, August 25, 2011

PERUTUSAN EIDULFITRI 1432



Allahu Akbar Allahu Akbar Allahu Akbar Walillahil hamd

Samada kita sedar mahupun tidak, Ramadhan semakin menghampiri penghujungnya. Bulan istimewa ini bakal meninggalkan kita, membawa pulang kembali segala tawaran-tawaran yang pernah ditawarkannya. Kalaulah manusia dapat mendengar laungan khas di bulan Ramadhan sepertimana yang dikhabarkan oleh Nabi s.a.w dalam hadisnya, “Ya baghiyal khairi aqbil, wa ya baghiyas sarri aqsir”, nescaya mereka akan berlumba-lumba mendapatkan kelebihannya, dan serta merta menghentikan segala perkara keji, mungkar dan maksiat. Maka beruntunglah bagi sesiapa merebut kelebihan-kelebihan itu, dan rugilah serugi-ruginya bagi mereka yang lalai dan alpa.

Ramadhan meninggalkan sekian banyak hikmah dan pengajaran. Bermula daripada ibadah puasa dan qiamnya, hinggalah kepada peristiwa-peristiwa besar yang berlaku dalamnya.

Salah satu daripada peristiwa besar tersebut ialah Fathu Makkah ataupun Pembukaan Makkah yang berlaku pada tahun kelapan hijrah. Pembukaan Makkah membawa erti kemerdekaan yang sebenar. Bukan sekadar memerdekakan tanahair, tapi memerdekakan jiwa fitrah setiap manusia daripada diperhambakan sesama manusia kepada memperhambakan diri kepada Allah, Tuhan semesta alam. Benarlah kata-kata Rub’i bin ‘Amir ketika berhadapan Panglima Tentera Parsi, “Sesungguhnya Allah telah membangkitkan kami untuk mengeluarkan manusia daripada perhambaan sesama manusia kepada memperhambakan diri hanya kepada Allah Tuhan Yang maha Esa, daripada kesempitan dunia kepada keluasan akhirat, dan daripada kezaliman ajaran-ajaran yang lain daripada Islam kepada keadilan Islam.”

Makkah dibebaskan oleh Rasulullah s.a.w bukan daripada penjajah asing, tapi daripada penjajah tempatan. Bangsa dan bahasa tutur kata mereka adalah sama. Bezanya ialah satu mahu berhempas pulas mempertahankan jahiliah, dan satu lagi mahu menegakkan kalimah tauhid. Mungkin akan ada yang berkata Rasulullah mengkhianati bangsa dan tanahair sendiri. Menyerang dan menakluk bangsanya. Tetapi apabila bangsa dan tanahair menjadi penghalang dalam rangka menegakkan kalimah Allah, maka semua itu secara automatik menjadi musuh yang mesti diberi pengajaran.

Apalah ertinya merdeka daripada penjajah asing, tetapi kemudiannya menjadi hamba kepada “penjajah tempatan” yang sama kulit dan bahasanya. Apalah ertinya merdeka apabila penjajah sudah dihalau, tetapi pemikiran penjajah masih lagi menjadi anutan dan ajarannya masih diamalkan.

Bukan mahu memperkecilkan jasa mereka yang telah memerdekakan tanahair tercinta ini, tetapi Islam telah mengajarkan erti kemerdekaan yang sebenar. Kemerdekaan membebaskan manusia daripada kegelapan jahiliah kepada cahaya Islam. Bukannya meruntuhkan jahiliah lama, kemudian membina jahiliah moden di atas runtuhan tersebut. Sebaliknya ialah meruntuhkan jahiliah dan membina kegemilangan Islam di atas runtuhan itu.

Semoga Allah s.w.t menerima segala amalan kita sepanjang Ramadhan ini.

Bagi pihak PAS Puchong saya mengucapkan Selamat Menyambut EidulFitri, maaf zahir dan batin, kepada semua umat Islam. Mudah-mudahan Allah S.W.T memberkati dan melimpahi kita semua dengan keampunan dan belas kasih daripada-Nya.

Salam hormat daripada saya;
MUHAMMAD SUFYAN ISMAIL
YDP PAS PUCHONG
NAIB KETUA DEWAN ULAMA PAS SELANGOR

Monday, August 1, 2011

PERUTUSAN RAMADHAN 1432


RAMADHAN, AL QUR’AN DAN PERUBAHAN

Marhaban bi Ramadhan, Marhaban bi Ramadhan, Marhaban bi Ramadhan

Alhamdulillah, Ramadhan kembali lagi menemui kita. Mungkin ada yang dulu bersama-sama kita dalam Ramadhan yang lalu, kini sudah tiada lagi. Demikianlah sunnah alam yang diaturkan oleh Allah azza wajalla. Tidak mengenal penat lelah dan tanpa menanti sesiapa pun, ia terus bergerak dan bergerak.

Ramadhan yang awalnya rahmat, pertengahan ma’firah dan pengakhiran pembebasan dari api neraka, tidak pernah jemu-jemu menghidangkan segala kebaikan yang dimilikinya untuk disantap oleh manusia-manusia beriman. Tidak pernah luput dan kurang nikmatnya walaupun ia sudah berusia lebih seribu tahun sejak mula difardhukan oleh Maha Pencipta.

Ramadhan menjadi saksi nyata terhadap peristiwa-peristiwa besar yang menjadi titik perubahan pada sejarah peradaban manusia. Antaranya ialah peristiwa Nuzulul Qur’an atau turunnya al Qur’an. Peristiwa ini dinyatakan oleh Allah swt dalam al Qur’an “Bulan Ramadhan ialah bulan yang diturunkan dalamnya al Qur’an, yang menjadi petunjuk kepada manusia, dan bayyinat kepada petunjuk itu, dan menjadi pembeza (antara yang haq dan yang batil)”.

Al Qur’anul karim yang diturunkan sekaligus pada malam al Qadar dalam bulan Ramadhan, dan kemudiannya diturunkan secara berperingkat-peringkat selama kurang lebih 22 tahun melalui perantaraan Ruhul Qudus, Jibril alaihissalam, adalah wahyu teristimewa dan terakhir dari langit.

Al Qur’an bukanlah manuskrip sejarah silam walaupun dalamnya ada tentang sejarah, Al Qur’an bukan juga kesimpulan teori-teori sains dan matematik walaupun kandungan lebih awal mendahului kajian-kajian sains dan matematik moden kebanggaan manusia, Al Qur’an bukan kitab sastera walaupun sastera al Qur’an mendahului kaeadah-kaedah sastera anutan ahli-ahli sya’ir, berpegang padanya selamat, berpaling daripadanya menempah alamat, mukjizatnya tidak pernah habis-habis, makin dikajinya makin melebar jauh tepian lautan ilmunya yang mahu dikuasai.

Saat al Qur’an diturunkan, wahyu istimewa ini ditohmah sebagai mentera-mentera ahli sihir. Al Qur’an mencabar dan dicabar, “dan sekiranya kamu ragu terhadap apa yang kami turunkan kepada hamba kami (al Qur’an yang diturunkan kepada Nabi Muhammad), maka sila bawa satu surah yang seumpamanya, dan panggillah pembantu-pembantu kamu yang selain daripada Allah, sekiranya kamu adalah orang-orang yang benar.” Jelas cabaran itu tidak berbalas sehingga kini dan sehingga hari Qiamat nanti. Walaupun ada yang pernah berusaha mencabar al Qur’an, usaha jahat itu tak pernah berjaya sebaliknya hanya mendedahkan kebodohan sang pencabar.

Al Qur’an telah merubah dunia yang penuh kegelapan jahiliah kepada cahaya wahyu yang terang benderang, ibarat malamnya seperti siangnya. Al Qur’an merubah perhambaan sesama makhluk kepada menghambakan diri hanya kepada Tuhan Yang Maha Esa, daripada kezaliman agama dan ideologi yang selain Islam kepada keadilan Islam.

Justeru marilah kita semua mengambil semangat Ramadhan ini untuk melakukan perubahan kepada diri kita sendiri, keluarga, sahabat handai , masyarakat dan ummah seluruhnya ke arah yang baik sekiranya sebelum ini belum baik, atau ke arah yang lebih baik sekiranya sebelum ini sudah baik.

Mahu berubah atau diubah sudah pasti berhadapan ujian dan tentangan. Sama sahaja seperti Rasulullah saw dan al Qur’an yang diturunkan padanya, menghadapi tentangan dari segenap penjuru. Baik musuh dalamannya, syaitan iblis, mahupun kaum keluarganya, hatta tentangan kuasa besar dunia ketika itu. Mana mungkin ampuh berhadapan dengan musuh-musuh begitu kalau tanpa sebarang bekalan dan persiapan.

Maka marilah kita semua menjadikan Ramadhan kali ini sebagai “madrasah” yang menyediakan pengajaran dan pembelajaran ruhani sebagai persediaan bekalan dan persiapan kita bagi menghadapi musuh, baik yang nyata mahupun tersembunyi. Mudah-mudahan Ramadhan kali ini mendekatkan kita lebih hampir kepada Allah swt, dan menghapuskan dosa-dosa kita yang sebahagiannya menjadi sebab musabab lambatnya turun pertolongan dan kemenangan daripada Allah azza wajalla.

“Barangsiapa yang berpuasa Ramadhan, dengan sepenuh keimanan dan mengharapkan balasan pahala daripada Allah, maka diampunkan dosa-dosanya yang terdahulu.” [maksud hadis]

Ya baghiyal khairi aqbil, wa ya baghiyas syarri aqsir

Saudara kamu;
Muhammad Sufyan Ismail
YDP PAS Puchong
1 Ramadhan 1432

Sunday, February 13, 2011

CUKUPLAH ALLAH SEBAGAI PELINDUNG



Sebahagian daripada tanda dan sifat mulia seorang mukmin ialah menyerahkan semua urusan kepada Allah, bertawakkal kepada-Nya, percaya kepada janji-janjiNya, redha dengan apa yang dilakukanNya, berbaik sangka padaNya, dan menunggu dengan sabar perlindungan dan pertolongan daripadaNya. Saat seorang mukmin itu tenang dan redha atas apa yang menimpa dirinya, maka dia akan menggantungkan segala permasalahannya hanya pada TuhanNya, maka pasti akan ada pengawasan, perlindungan, kekuatan serta pertolongan daripada Allah swt.

Ketika Nabi Ibrahim dicampakkan ke dalam api yang menjulang, dia mengucapkan "hasbunallah wa ni'mal wakil" (cukuplah Allah menjadi penolong kami dan sebaik-baik pelindung), maka Allah menjadikan api yang sifatnya membakar itu tiba-tiba dingin dan sejuk, lantas tiada sehelai pun bulu di jasad utusanNya yang mulia itu terbakar.

Demikian halnya juga apa yang berlaku kepada Rasulullah saw dan para sahabatnya, tatkala menghadapi ancaman daripada musuh-musuh Allah di medan perang, syiar inilah yang mereka laungkan "hasbunallah wa ni'mal wakil"...

Sehebat mana pun seorang manusia, di mana posisi pun dia berada, samada dia sang raja yang hebat kekuasaannya, mahu pun ulama yang unggul keilmuannya dan ramai anak muridnya, selagi mana ia masih bergelar seorang manusia, pasti dia tidak mampu melawan setiap kali hadirnya bencana, dugaan dan fitnah, serta mencegah malapetaka dengan hanya bermodalkan kekuatannya sendiri.

Semua bencana, dugaan, fitnah dan sebagainya itu hanya mampu dihadapi sekiranya kita bertawakkal kepada-Nya, percaya sepenuhnya kepada perlindungan-Nya, dan menyerahkan segala perkara kepada-Nya. Dari situ maka akan terhasillah kekuatan dan pertolongan Allah.

"...dan hanya pada Allahlah hendaknya kamu bertawakkal, jika kamu benar-benar beriman." [al Maaidah : 23]

Di antara keadilan Allah swt, DIA akan menimpakan ujian dan dugaan pada hamba-hambaNya mengikut kadar yang berbeza-beza berdasarkan kedudukan dan siapa hambaNya itu. Seorang nabi dan rasul menghadapi ujian dan dugaan yang maha hebat sesuai dengan kedudukan mereka, manakala seorang ulama dan seorang umara' menghadapi perkara yang sama sesuai dengan kedudukan dan diri mereka, begitulah seterusnya bagi setiap hamba Allah.

Sebagai misal, Khalifah Uthman bin Affan ra. yang memimpin umat Islam selama 12 tahun setelah al Faruq Umar bin al Khattab ra, telah dikritik hebat berkenaan gaya pentadbirannya. Sejarah mencatatkan sebilangan daripada orang-orang Mesir, Basrah dan Kufah telah mengepung rumah Khalifah Uthman selama 40 hari, menuntut perletakkan jawatannya, atau pun syarat dan kehendak kumpulan pemberontak ini dipenuhi.

Kumpulan pemberontak ini ke Madinah dan berhadapan dengan beberapa sahabat besar, seperti Saidina Ali bin Abi Talib, Talhah bin Ubaidillah, Ummul Mukminin Aishah binti Abi Bakar dan ramai lagi, menyatakan sebab tindakan yang diambil mereka itu. Saidina Ali menjadi orang tengah dan cuba berunding dengan kumpulan pemberontak tersebut dan memujuk Khalifah Uthman agar menimbangkan beberapa tuntutan kumpulan itu.

Akhirnya Pemilik Dua Cahayamata Rasulullah ini menjadi korban di tangan kumpulan pemberontak di awal Subuh pagi Jumaat, 8 Zulhijjah 35H dalam keadaan baginda memeluk mushaf al Qur'an. Al Thabari memberi komentar panjang lebar kisah ini, dan menjawab segala kritikan dan ketidakpuasan hati kumpulan pemberontak terhadap khalifah yang mulia ini.

Demikianlah sebahagian catatan kisah sedih dan pilu, serta fitnah dan dugaan hebat yang menimpa sahabat, menantu Rasulullah saw, dan juga seorang pemimpin ummat untuk diambil iktibar dan pengajaran.

Saya cuba memujuk hati kecil ini dengan kisah-kisah sahabat Nabi, antaranya kisah Saidina Uthman ini, saat berhadapan dengan ombak dan gelombang dalam urusan kepimpinan.

Apalah sangat nak dihairankan apabila dikritik, sedangkan menantu Rasulullah itu pun
telah dikritik lebih hebat daripada yang dihadapi sekarang. Apalah sangat fitnah yang menimpa kini, padahal itulah jalan dan resmi perjuangan yang mesti ditempuhi.

Bezanya, kumpulan pemberontak di zaman Khalifah Uthman mengkritik secara berhadapan dan tanpa sembunyi-sembunyi menyatakan penentangan mereka, sebaliknya "pemberontak" zaman kini hanya berani menyebarkan fitnah melalui "sms-sms liar", yang menyembunyikan diri dalam selimut-selimut dayus dan berniat jahat kepada perjuangan Islam. Bahasa orang muda sekarang "tak gentlemen".

Seorang yang beriman tidak perlu dibangga-banggakan saat dia memegang jawatan dan mempunyai kuasa, dan tidak juga perlu ditakut-takutkan sekiranya kehilangan jawatan mahupun terlucut kuasanya. Seandainya seluruh makhluk bersepakat untuk mendatangkan manfaat kepadanya, atau sebaliknya mendatang mudharat kepadanya, segala-galanya tidak akan berlaku melainkan ia sudah ditulis oleh Allah swt.

Seorang yang beriman yang akur akan kelemahan dirinya, bertawakkal kepada Allah, Tuhan yang memiliki kekuatan yang maha hebat, saat hartanya kurang, hutangnya banyak, kehidupannya sempit, dia takut menghadapi musuhnya, hatinya cemas dek perlakuan zalim dan fitnah yang dihadapkan padanya, maka ucapkanlah,,,

"hasbunallah wa ni'mal wakil"

"hasbunallah wa ni'mal wakil"

"hasbunallah wa ni'mal wakil"


Muhammad Sufyan b. Ismail
Sabak Bernam, 13 Feb 2011

Friday, January 28, 2011

SAFAR, AL RAJI' DAN PRINSIP




"Benarkan aku bersembahyang dua rakaat" pinta Khubaib. Lalu dia dibenarkan oleh musuh-musuh Allah yang menanti-nanti mahu menamatkan segera riwayat hidup sahabat terbilang ini. Khubaib terburu-buru menunaikan sembahyangnya yang terakhir itu. Usai sembahyang, dengan tegas dia mengatakan, "Demi Allah, kalau sekiranya kalian tidak beranggapan aku takut mati, nescaya aku akan memanjangkan lagi sembahyang aku".

Saat musuh-musuh Allah itu mengangkatnya ke tali gantung, Khubaib berdoa, "Ya Allah, hitungkanlah jumlah mereka semua, bunuhlah mereka dan janganlah Engkau tinggalkan mereka walau seorang pun".

Ketika hujung-hujung ajalnya, iman Khubaib masih terus diuji. "Apakah kau rela, sekiranya Muhammad berada di tempat engkau sekarang ini, dan engkau pula dapat bersenang-senang dengan keluarga dan hartamu?" tawar musuh Allah. Lantas dia menjawab, "Demi Allah, aku tak akan rela sama sekali. Aku tak akan rela walau Rasulullah tercucuk duri sekalipun, sementara aku dapat bersenang-senang di tengah-tengah keluarga dan hartaku". Akhirnya Khubaib menemui syahid yang didambakannya.

Demikianlah sebahagian catatan para ulama berkenaan peristiwa terkenal al Raji' yang berlaku di bulan Safar ini. Rombongan sahabat sebanyak 10 orang menurut riwayat al Bukhari, keluar dari Madinah sebagai utusan Rasulullah dengan misi dakwah akhirnya menemui syahid di jalan Allah.

Khubaib bin Adi r.a adalah sebahagian daripada banyak contoh para sahabat yang kukuh mempertahankan prinsip walaupun saat nyawa yang menjadi taruhan.

Prinsip adalah suatu yang amat penting bagi seseorang manusia. Berprinsip bererti bermaruah. Menurut kamus Dewan [edisi keempat], prinsip bererti asas atau dasar. Seorang yang berprinsip ialah seorang yang kuat memegang teguh pada asas atau dasar perjuangannya.

Dalam perjuangan Islam, ada perkara yang dianggap prinsip atau dasar, dan ada perkara yang dianggap pendekatan atau strategi. Prinsip sifatnya tetap, manakala strategi sifatnya murunah ataupun anjal.

Soal menegakkan Islam sebagai sebuah negara yang berdaulat adalah prinsip, tetapi kaedah bagaimana merealisasikan prinsip itu adalah soal pendekatan dan strategi. Di saat ini, pendekatan secara mujawahah silmiyah dan penglibatan gerakan Islam dalam sistem demokrasi adalah pendekatan dan strategi yang dikira terbaik dan sesuai, yang pasti strategi ini tidak terlepas daripada perubahan-perubahan pada masa akan datang.

Dalam merancang dan melaksanakan pendekatan dan strategi untuk menarik minat umum terhadap Islam, janganlah sampai prinsip dan dasar diabaikan. Jangan sampai Islam yang mahu disampaikan menjadi kabur dek kerana terlalu berhati-hati "menatang" strategi yang dirancang. Jangan sampai terpaksa menyembunyikan dasar Islam yang menjadi aqidah perjuangan, semata-mata mahu memastikan sokongan bertambah ataupun yang sedia menyokong terus kekal menyokong.

Biarlah menjadi umpama Khubaib bin Adi, mempertahankan prinsipnya sampai ke akhir hayatnya. Para ahli sejarah Islam menyatakan, saat Khubaib mahu dibunuh, dia sempat mengucapkan, " Ya Allah, sampaikanlah berita penderitaan yang kami alami pagi ini kepada Rasul-Mu, kesejahteraan dan kebahagiaan bagimu wahai Rasulullah," diulang-ulangnya tiga kali.

Ucapan Khubaib yang ketika itu di Makkah, telah disampaikan kepada Rasulullah s.a.w yang berada di Madinah, lantas baginda menjawab, "Kesejahteraan dan kebahagiaan jugalah bagimu, wahai Khubaib, kesejahteraan dan kebahagiaan jugalah bagimu wahai Khubaib, kesejahteraan dan kebahagiaan jugalah bagimu, wahai Khubaib".

Alhamdulillah PAS sehingga kini, masih kekal dan teguh mempertahankan Islam yang menjadi prinsip dan dasarnya. PAS dihormati sekutu dan seteru kerana masih istiqamah dengan prinsip perjuangannya. Walau pimpinannya datang dan pergi serta silih berganti, dasar dan prinsip perjuangan PAS tidak pernah berubah.

Masih ramai di kalangan ahli PAS yang memahami hakikat ini, walau terkadang kala ada segelintir yang terpesona dengan badai ombak politik semasa sehingga terpacul dari mulut dan mata pena mereka yang mahukan "perubahan baru" dalam PAS.

Hakikatnya tidak mudah membuat perubahan melulu pada dasar dan prinsip perjuangan PAS kerana pasti ada "Khubaib bin Adi" baru yang akan mempertahankannya.

Sufyan Ismail
Jumaat, 23 Safar 1432