Thursday, August 25, 2011

PERUTUSAN EIDULFITRI 1432



Allahu Akbar Allahu Akbar Allahu Akbar Walillahil hamd

Samada kita sedar mahupun tidak, Ramadhan semakin menghampiri penghujungnya. Bulan istimewa ini bakal meninggalkan kita, membawa pulang kembali segala tawaran-tawaran yang pernah ditawarkannya. Kalaulah manusia dapat mendengar laungan khas di bulan Ramadhan sepertimana yang dikhabarkan oleh Nabi s.a.w dalam hadisnya, “Ya baghiyal khairi aqbil, wa ya baghiyas sarri aqsir”, nescaya mereka akan berlumba-lumba mendapatkan kelebihannya, dan serta merta menghentikan segala perkara keji, mungkar dan maksiat. Maka beruntunglah bagi sesiapa merebut kelebihan-kelebihan itu, dan rugilah serugi-ruginya bagi mereka yang lalai dan alpa.

Ramadhan meninggalkan sekian banyak hikmah dan pengajaran. Bermula daripada ibadah puasa dan qiamnya, hinggalah kepada peristiwa-peristiwa besar yang berlaku dalamnya.

Salah satu daripada peristiwa besar tersebut ialah Fathu Makkah ataupun Pembukaan Makkah yang berlaku pada tahun kelapan hijrah. Pembukaan Makkah membawa erti kemerdekaan yang sebenar. Bukan sekadar memerdekakan tanahair, tapi memerdekakan jiwa fitrah setiap manusia daripada diperhambakan sesama manusia kepada memperhambakan diri kepada Allah, Tuhan semesta alam. Benarlah kata-kata Rub’i bin ‘Amir ketika berhadapan Panglima Tentera Parsi, “Sesungguhnya Allah telah membangkitkan kami untuk mengeluarkan manusia daripada perhambaan sesama manusia kepada memperhambakan diri hanya kepada Allah Tuhan Yang maha Esa, daripada kesempitan dunia kepada keluasan akhirat, dan daripada kezaliman ajaran-ajaran yang lain daripada Islam kepada keadilan Islam.”

Makkah dibebaskan oleh Rasulullah s.a.w bukan daripada penjajah asing, tapi daripada penjajah tempatan. Bangsa dan bahasa tutur kata mereka adalah sama. Bezanya ialah satu mahu berhempas pulas mempertahankan jahiliah, dan satu lagi mahu menegakkan kalimah tauhid. Mungkin akan ada yang berkata Rasulullah mengkhianati bangsa dan tanahair sendiri. Menyerang dan menakluk bangsanya. Tetapi apabila bangsa dan tanahair menjadi penghalang dalam rangka menegakkan kalimah Allah, maka semua itu secara automatik menjadi musuh yang mesti diberi pengajaran.

Apalah ertinya merdeka daripada penjajah asing, tetapi kemudiannya menjadi hamba kepada “penjajah tempatan” yang sama kulit dan bahasanya. Apalah ertinya merdeka apabila penjajah sudah dihalau, tetapi pemikiran penjajah masih lagi menjadi anutan dan ajarannya masih diamalkan.

Bukan mahu memperkecilkan jasa mereka yang telah memerdekakan tanahair tercinta ini, tetapi Islam telah mengajarkan erti kemerdekaan yang sebenar. Kemerdekaan membebaskan manusia daripada kegelapan jahiliah kepada cahaya Islam. Bukannya meruntuhkan jahiliah lama, kemudian membina jahiliah moden di atas runtuhan tersebut. Sebaliknya ialah meruntuhkan jahiliah dan membina kegemilangan Islam di atas runtuhan itu.

Semoga Allah s.w.t menerima segala amalan kita sepanjang Ramadhan ini.

Bagi pihak PAS Puchong saya mengucapkan Selamat Menyambut EidulFitri, maaf zahir dan batin, kepada semua umat Islam. Mudah-mudahan Allah S.W.T memberkati dan melimpahi kita semua dengan keampunan dan belas kasih daripada-Nya.

Salam hormat daripada saya;
MUHAMMAD SUFYAN ISMAIL
YDP PAS PUCHONG
NAIB KETUA DEWAN ULAMA PAS SELANGOR

Monday, August 1, 2011

PERUTUSAN RAMADHAN 1432


RAMADHAN, AL QUR’AN DAN PERUBAHAN

Marhaban bi Ramadhan, Marhaban bi Ramadhan, Marhaban bi Ramadhan

Alhamdulillah, Ramadhan kembali lagi menemui kita. Mungkin ada yang dulu bersama-sama kita dalam Ramadhan yang lalu, kini sudah tiada lagi. Demikianlah sunnah alam yang diaturkan oleh Allah azza wajalla. Tidak mengenal penat lelah dan tanpa menanti sesiapa pun, ia terus bergerak dan bergerak.

Ramadhan yang awalnya rahmat, pertengahan ma’firah dan pengakhiran pembebasan dari api neraka, tidak pernah jemu-jemu menghidangkan segala kebaikan yang dimilikinya untuk disantap oleh manusia-manusia beriman. Tidak pernah luput dan kurang nikmatnya walaupun ia sudah berusia lebih seribu tahun sejak mula difardhukan oleh Maha Pencipta.

Ramadhan menjadi saksi nyata terhadap peristiwa-peristiwa besar yang menjadi titik perubahan pada sejarah peradaban manusia. Antaranya ialah peristiwa Nuzulul Qur’an atau turunnya al Qur’an. Peristiwa ini dinyatakan oleh Allah swt dalam al Qur’an “Bulan Ramadhan ialah bulan yang diturunkan dalamnya al Qur’an, yang menjadi petunjuk kepada manusia, dan bayyinat kepada petunjuk itu, dan menjadi pembeza (antara yang haq dan yang batil)”.

Al Qur’anul karim yang diturunkan sekaligus pada malam al Qadar dalam bulan Ramadhan, dan kemudiannya diturunkan secara berperingkat-peringkat selama kurang lebih 22 tahun melalui perantaraan Ruhul Qudus, Jibril alaihissalam, adalah wahyu teristimewa dan terakhir dari langit.

Al Qur’an bukanlah manuskrip sejarah silam walaupun dalamnya ada tentang sejarah, Al Qur’an bukan juga kesimpulan teori-teori sains dan matematik walaupun kandungan lebih awal mendahului kajian-kajian sains dan matematik moden kebanggaan manusia, Al Qur’an bukan kitab sastera walaupun sastera al Qur’an mendahului kaeadah-kaedah sastera anutan ahli-ahli sya’ir, berpegang padanya selamat, berpaling daripadanya menempah alamat, mukjizatnya tidak pernah habis-habis, makin dikajinya makin melebar jauh tepian lautan ilmunya yang mahu dikuasai.

Saat al Qur’an diturunkan, wahyu istimewa ini ditohmah sebagai mentera-mentera ahli sihir. Al Qur’an mencabar dan dicabar, “dan sekiranya kamu ragu terhadap apa yang kami turunkan kepada hamba kami (al Qur’an yang diturunkan kepada Nabi Muhammad), maka sila bawa satu surah yang seumpamanya, dan panggillah pembantu-pembantu kamu yang selain daripada Allah, sekiranya kamu adalah orang-orang yang benar.” Jelas cabaran itu tidak berbalas sehingga kini dan sehingga hari Qiamat nanti. Walaupun ada yang pernah berusaha mencabar al Qur’an, usaha jahat itu tak pernah berjaya sebaliknya hanya mendedahkan kebodohan sang pencabar.

Al Qur’an telah merubah dunia yang penuh kegelapan jahiliah kepada cahaya wahyu yang terang benderang, ibarat malamnya seperti siangnya. Al Qur’an merubah perhambaan sesama makhluk kepada menghambakan diri hanya kepada Tuhan Yang Maha Esa, daripada kezaliman agama dan ideologi yang selain Islam kepada keadilan Islam.

Justeru marilah kita semua mengambil semangat Ramadhan ini untuk melakukan perubahan kepada diri kita sendiri, keluarga, sahabat handai , masyarakat dan ummah seluruhnya ke arah yang baik sekiranya sebelum ini belum baik, atau ke arah yang lebih baik sekiranya sebelum ini sudah baik.

Mahu berubah atau diubah sudah pasti berhadapan ujian dan tentangan. Sama sahaja seperti Rasulullah saw dan al Qur’an yang diturunkan padanya, menghadapi tentangan dari segenap penjuru. Baik musuh dalamannya, syaitan iblis, mahupun kaum keluarganya, hatta tentangan kuasa besar dunia ketika itu. Mana mungkin ampuh berhadapan dengan musuh-musuh begitu kalau tanpa sebarang bekalan dan persiapan.

Maka marilah kita semua menjadikan Ramadhan kali ini sebagai “madrasah” yang menyediakan pengajaran dan pembelajaran ruhani sebagai persediaan bekalan dan persiapan kita bagi menghadapi musuh, baik yang nyata mahupun tersembunyi. Mudah-mudahan Ramadhan kali ini mendekatkan kita lebih hampir kepada Allah swt, dan menghapuskan dosa-dosa kita yang sebahagiannya menjadi sebab musabab lambatnya turun pertolongan dan kemenangan daripada Allah azza wajalla.

“Barangsiapa yang berpuasa Ramadhan, dengan sepenuh keimanan dan mengharapkan balasan pahala daripada Allah, maka diampunkan dosa-dosanya yang terdahulu.” [maksud hadis]

Ya baghiyal khairi aqbil, wa ya baghiyas syarri aqsir

Saudara kamu;
Muhammad Sufyan Ismail
YDP PAS Puchong
1 Ramadhan 1432