Monday, January 25, 2010

KRITIK



Umar tenang. Beliau tetap di atas mimbar. Sedikit pun beliau tidak melenting apabila pidato tiba-tiba dipotong oleh seorang hadirin. Orang ramai memerhatikan peristiwa yang mengejutkan itu. Yang dikritik bukan calang-calang orang. Seorang pemimpin bertaraf Khalifah.

“Kami tak akan mendengar kata-katamu dan taat kepadamu, selama kami belum tahu, dari mana engkau dapat pakaian yang ada pada tubuhmu ini?” bentak orang yang bertanya itu. Umar sedar kain yang dibuat pakaiannya itu hasil ghanimah yang diterimanya. Saiznya tak cukup untuk sepasang pakaian. Apatah lagi saiz tubuhnya lebih besar berbanding orang lain.

Umar faham akan kritikan itu. Anaknya Abdullah bin Umar r.a dipanggil untuk memberi penjelasan, katanya “Wahai Abdullah! Orang ini berhak curiga kepada aku, dan kita wajib menjelaskan padanya sehingga hilang kecurigaannya itu. Terangkanlah bagaimana aku dapat kain yang lebih itu.”
Abdullah pun menjelaskan, “Memang benar satu bahagian kain itu tak mencukupi bagi dibuat pakaian ayahku ini, apatah lagi badannya lebih besar berbanding dengan lain. Jadi yang lebih itu adalah bahagian aku yang aku berikan padanya. Tegasnya, satu bahagian aku dan satu bahagiannya sendiri. Aku harap aku sudah memberi penjelasan.”

Demikianlah Amirul Mukminin Umar bin al-Khattab r.a. Bukan itu kali pertama dia dikritik. Sudah beberapa kali beliau berhadapan dengan situasi sedemikian. Malah khalifah yang terkenal dengan ketegasannya itu pernah ditegur dan dikritik oleh seorang perempuan, dengan tenang dia berkata, “Semoga Allah merahmati orang yang menghadiahkan aibku kepadaku.”

Kritik merupakan anasir yang sihat dalam kepimpinan. Dengan kritikan, kepimpinan akan sentiasa berada di landasan yang betul. Mungkin kritikan amat sukar diterima. Apatah lagi kalau yang dikritik itu pemimpin dan yang mengkritik itu orang bawahan saja. Kritik itu ibarat ubat yang pahit, tetapi ubat yang pahit itulah selalunya lebih berkesan dan mujarab.

Seharusnya ketika dikritik, seorang pemimpin hendaklah tenang dan tak terbawa-bawa dengan emosi yang melulu. Pemimpin perlu mempunyai sifat tawadhu’ atau rendah diri dan menjadi pendengar yang baik. Sememangnya menjadi pendengar yang baik adalah sebahagian kerja pemimpin. Bahkan itulah yang menggambarkan kematangannya sebagai pemimpin.

Seorang pemimpin perlu berprasangka baik terhadap pengkritiknya. Berprasangka baik ini lahir daripada sifat tasamuh atau toleransi dan kasih sayang seorang pemimpin kepada orang bawahannya. Lapangkanlah sedikit ruang di dalam hati kita untuk cuba mendengar, memahami dan menerima kritikan sekiranya kritikan itu benar walaupun ia sepahit hempedu dan setajam pedang. Kuasa, kedudukan dan senioriti dalam organisasi tidak sepatutnya menjadi kekebalan dan penghalang daripada seseorang pemimpin itu dikritik.

Perlu diingat bukan semua kritikan mesti dijawab atau diterima. Pemimpin mesti mempunyai jatidiri dan berprinsip dalam menerima kritikan dan pendapat. Dalam masa yang sama, seorang pemimpin perlu terbuka dalam menghadapi kritikan dan pendapat. Persoalan yang lebih penting bagaimana sesuatu kritikan itu perlu dikendalikan, kemudian diterima mahupun diabaikan.

Kepada yang mengkritik, teruskanlah kerja anda yang mulia itu. Cuma pastikan berniat ikhlas, mempunyai asas dan maklumat yang tepat bila mengkritik, menggunakan pendekatan yang hikmah dan bukan hanya menjadi “penghangat suasana” apabila sesuatu isu atau kritikan diperdebatkan. Pastikan benar-benar kritik adalah kritik, bukan tersasar menjadi tuduhan melulu dan umpat yang membinasakan diri.

Yang dikritik pula berlapang dadalah. Jangan terburu-buru menjawab setiap kali dikritik. Ada kalanya berdiam diri sementara waktu adalah senjata paling ampuh dalam menghadapi kritikan. Anggaplah dikritik ibarat dihadiahkan ubat. Ubat kepada penyakit takabbur, ‘ujub dan sum’ah yang ada dalam diri. Orang sehebat Umar r.a pun dikritik, apatah lagi kita yang begitu jauh tarafnya berbanding Umar. Teladanilah Umar dalam berhadapan dengan kritikan kepadanya.

Saya termenung seketika apabila membaca tulisan al-Marhum Dr. Sayyid Muhammad Nuh yang mengungkapkan “menolak kritik dan nasihat adalah wabak penyakit di jalan dakwah.” Marilah sama-sama kita ubati penyakit ini sebelum ia parah.

Muhammad Sufyan Ismail

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.