Wednesday, February 10, 2010

BIJAKSANA

Ditulis; Sufyan Ismail

Perbalahan sudah berlanjutan selama empat atau lima malam. Isunya siapa yang lebih berhak meletakkan Hajar Aswad di tempat asalnya. Keadaan semakin meruncing sehingga Abu Umamah bin al Mughirah al Makhzumi, bapa saudara Khalid bin al Walid telah mencadangkan kepada mereka supaya mencari seorang hakim untuk menyelesaikan perbalahan tersebut. Hakim yang dicadangkan ialah orang yang pertama masuk dari pintu masjid. Mereka pun bersetuju dengan cadangan itu. Allah mentakdirkan bahawa orang yang ditunggu-tunggu itu ialah Rasulullah s.a.w. Apabila mereka melihat baginda, mereka pun bertempik; Inilah orang yang jujur, kami bersetuju dengannya. Inilah Muhammad.

Setibanya Nabi kepada mereka, baginda dimaklumkan tentang cadangan tersebut. Baginda meminta sehelai kain lalu diletakkan batu itu di tengah-tengah kain dan meminta semua ketua kabilah yang berbalah itu memegang bucu kain tersebut. Baginda menyuruh mereka mengangkat kain itu sehingga apabila sampai ke tempatnya, baginda sendiri mengambil batu itu dengan tangannya dan meletakkan sendiri di tempatnya. Inilah penyelesaian yang bijak yang direstui semua pihak. Demikianlah sebahagian catatan sirah Rasulullah s.a.w oleh Safiyurrahman al Mubarakfuri dalam kitabnya ar Rahiq al Makhtum.

Zaman terus berputar. Catatan yang menggambarkan sifat fatanah ini pada diri Rasululluh terus diulang-ulang lebih-lebih lagi dengan kehadiran bulan Rabiulawwal atau dikenal “bulan maulid” ini. Dalam bahasa yang lebih mudah difahami fatanah diberi maksud bijaksana dalam bahasa ibunda. Rujukan yang muktabar dalam Bahasa Melayu, Kamus Dewan (edisi keempat) memberi makna bijaksana ialah berakal budi, arif, pandai dan berhati-hati.

Bijaksana atau kebijaksanaan Rasulullah s.a.w adalah sifat yang wajib bagi setiap nabi dan rasul. Kebijaksanaan Rasulullah s.a.w menyelesaikan masalah dengan cara yang diterima oleh semua pihak yang terlibat telah menyelamatkan mereka dari pertumpahan darah. Perlu diingat, kebijaksaan ini ditonjolkan oleh Allah sebelum baginda diangkat menjadi nabi dan rasul, supaya tidak ada alasan yang benar untuk mereka bermusuh dengan Rasulullah apabila diajak kepada Islam.

Bijaksana inilah yang perlu diteladani dan dimiliki oleh semua, lebih-lebih lagi di kalangan yang memimpin. Bukan soal yang dipimpin tidak perlu kepada sifat ini, tetapi yang memimpin lebih berhajat lagi. Bijaksana sang pemimpinlah yang bakal mencorakkan kebijaksanaan pengikut-pengikutnya.

Seorang pemimpin yang bijaksana bukan sahaja dinilai kepetahannya berpidato, tetapi perlu dinilai sejauh mana dia berjaya menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi dalam perjuangannya. Al Marhum Ustaz Sa’id Hawwa menamakan Rasulullah s.a.w sebagai al qiyadah as siyasiyyah al ulya (pemimpin politik tertinggi) dalam kitabnya Ar Rasul, menyenaraikan tidak kurang lima masalah utama yang diselesaikan oleh baginda yang boleh dijadikan panduan.

Dalam suasana sekarang, kita semua amat berhajat kepada sifat bijaksana ini. Situasi “kalah dalam menang” dalam pilihanraya lalu memerlukan pemerhatian yang lebih teliti. Hubungan atas prinsip Tahaluf Siyasi perlu dimanfaat sebaik mungkin.

Hasil daripada pilihanraya lalu, Allah s.w.t menganugerahkan kepada kita medan dakwah yang lebih selesa daripada sebelum ini. Situasi ini perlu benar-benar diambil peluang untuk menyampaikan mesej Islam dan jamaah kepada sasaran dakwah kita.

Bijaksana dalam dakwah jangan sampai meninggalkan apa yang sudah dimiliki. Jangan sampai markaz yang dibina atas pengorbanan ikhlas ditinggalkan sepi kerana alasan masjid dan surau hendak dimakmurkan. Jangan sampai hubungan dengan sahabat-sahabat seaqidah perjuangan makin renggang hanya kerana alasan hendak mencari pengundi dan penyokong baru. Paling kurang semua itu berjalan seiringan. Jangan sampai yang dikendong berciciran, yang dikejar tak dapat.

Dalam berpolitik hari ini, pimpinan kita menerimapakai prinsip Tahaluf Siyasi. Sebagai ahli adalah menjadi kewajipan kepada semua untuk taat dalam perkara ini. Prinsip ini telah membawa kita ke lanskap politik yang agak berbeza yang memerlukan kita “berkawan baik” dengan rakan-rakan politik yang lain. Ada perkara yang kita dapat dan ada perkara yang kita terpaksa korbankan. Tetapi bumi tidak akan sentiasa disirami hujan. Pakatan ini boleh kekal dan boleh musnah. Dalam keadaan inilah, kebijaksaan kita dalam berpolitik amatlah penting. Jangan sampai dalam tempoh yang manis ini, ahli-ahli kita mula teruja dan menyeberang ke bahtera rakan politik kita yang sudah kelihatan sekarang agak stabil dan berpengaruh. Dalam berkawan dan bermusuh, Nabi ada berpesan jangan terlalu kamu membenci musuh kamu nanti suatu hari orang yang dibenci bertukar menjadi orang yang kamu kasih. Dan janganlah terlalu kasih kepada kawan kamu nanti suatu hari orang yang kamu kasih menjadi musuh kamu.

Kesimpulannya, kita semua berhajat kepada sifat bijaksana ini,samada yang memimpin atau yang dipimpin. Sudah tentu yang memimpin amat-amat dituntut. Kita perlu bijaksana dalam berharakah, berdakwah, berpolitik dan segala-galanya. Bijaksana bukan bermakna memilih pandangan yang lebih popular tetapi bijaksana adalah berprinsip, berupaya menilai dan membuat keputusan, tegas dan berhati-hati. Dalam Islam semua itu tidak boleh lari daripada berpedomankan al Quran dan as Sunnah. Apalah ertinya kita menjadi umat kepada Nabi yang bijaksana, kalau bijaksananya itu tidak dapat kita teladani.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.